"BIAR kita jadi seperti resmi padi, makin berisi makin menunduk dan jangan lupa diri,” itu antara pesanan yang tersemat kukuh dalam jiwa Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang kini menggalas tanggungjawab untuk menjaga negeri ketiga terbesar di Malaysia itu. Pesanan itu dititipkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah semasa 'menyerahkan' pentadbiran kerajaan negeri itu untuk dijaga oleh Tengku Hassanal sebaik baginda dimasyhurkan ke jawatan itu, Januari lalu. Berkongsi cerita, Tengku Hassanal bertitah ayahanda dan bonda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menitikberatkan pendidikan agama selain sentiasa menerapkan sifat rendah diri dalam kalangan putera dan puteri baginda sejak dari kecil lagi. "Ayahanda dan bonda sering mengingatkan supaya selalu bersopan-santun dengan rakyat, tidak kisah dari mana sekalipun orang berkenaan dan tidak boleh sombong. "Kita perlu (berkelakuan begitu) kerana kita semua adalah makhluk ciptaan Allah,” titah baginda pada sesi wawancara khas bersama Bernama dan Kosmo sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa. Sesi wawancara berkenaan turut disertai oleh Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah. Walaupun merupakan putera raja sulung dan cahaya mata yang ditunggu-tunggu sebelum ini oleh Sultan Abdullah serta Tunku Azizah setelah lebih 10 tahun mendirikan rumahtangga, Tengku Hassanal mengakui baginda telah diajar berdikari dan mendekati rakyat sejak kecil termasuk kepada adik beradik baginda yang lain. "Sejak dari saya umur 10 tahun saya telah dihantar ke luar negara untuk sekolah (Caldiccot Preparation School, United Kingdom), saya hanya bersama ayahanda dan bonda bila musim cuti. Apabila saya dan adik saya balik Malaysia, kami selalu mengiringi Tuanku ke majlis rasmi dan menziarah ke kampung-kampung. "Tuanku ayahanda menghantar semua adik beradik saya ke England, bukan untuk nak tunjuk kita ada kelebihan daripada orang lain yang di dalam negara ini, tetapi nak kita merendahkan diri. "Ayahanda tak nak kita besar kepala tetapi mahu kita jadi rendah diri. (Pengalaman) Di United Kingdom telah mengajar kita untuk jadi berdikari dan bagaimana untuk menjadi orang biasa,” titah baginda. Mengimbau kenangan paling tidak dapat dilupakan ketika itu, titah Tengku Hassanal ialah apabila Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menangis kerana sedih ingin melepaskan dirinya seorang diri di perantauan dalam usia yang masih muda. "Sebelum nak tinggalkan saya, ayahanda dan bonda dah menangis, saya tak suka tengok mereka menangis saya kata babah jangan la menangis, lepas tu lagi teruk mereka nangis,” katanya yang meminati sukan polo dan lebih selesa untuk tidak terlalu mengikut protokol semasa berjumpa rakyat, sama seperti Sultan Abdullah. Disebabkan tidak mahu orang mengetahui tentang kedudukannya sebagai anak raja, Tengku Hasssanal bertitah baginda menggunakan panggilan nama Shah sahaja, namun semasa mengikuti latihan ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom, statusnya telah diketahui umum apabila ramai yang membuat carian di internet. Bagaimanapun, titah baginda, latihan yang diterima tetap sama dan ia membantu baginda membentuk keperibadian menerusi latihan ketenteraan yang lasak serta berdisiplin tinggi. Apabila ditanya siapakah yang lebih garang antara ayahanda dan bondanya, sambil tergelak kecil Tengku Hassanal bertitah Tunku Azizah yang dipanggil dengan panggilan ‘mama’ lebih garang dan amat menitikberatkan soal penampilan. "Biasanya bonda seorang pembawa mesej, ayahanda jika nak nasihat sesuatu biasanya melalui bonda, ayahanda tak suka garang tapi suka manjakan anak-anaknya. Bonda yang garang dengan kita. "Macam sapu tangan ini (sambil menunjukkan sapu tangan di poket kot persalinan baginda), bonda saya selalu marah saya kenapa tak bawa sapu tangan dan dia selalu ingatkan saya bahawa bila keluar perlu bawa sapu tangan,” titah baginda. Menyedari tugas yang menantinya di Pahang selepas istiadat pertabalan ayahanda esok bertambah berat, baginda yakin mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan baik hasil asuhan ayahanda dan bonda serta Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Musta’in Billah yang lebih mesra dipanggil dengan gelaran ‘tok bok’. "Saya selalu mengiring apabila baginda pergi rumah terbakar, banyak hubungan dengan orang dan rutin ini jadi hobi untuk berkhidmat kepada rakyat. "...Ia satu legasi (raja dan rakyat berpisah tiada) yang akan saya teruskan dan saya percaya bukan saya seorang sahaja tetapi anak saya dan cucu saya akan teruskan legasi ini sampai bila-bila,” titah baginda. - Bernama.