suria

Sel otak budak 6 tahun mengecut sejak Oktober, “Penyakit ini menyerang tak kira waktu”

Mohd Zaidi bersama Zafril Rifqi (kiri) bersama isteri dan anak-anaknya lain tabah selepas anak keempat daripada lima beradik itu disahkan menghidap penyakit sel otak mengecut.FOTO: Sinar Harian.

PASANGAN suami isteri berdepan dugaan hidup apabila anak mereka, Zafril Rifqi Mohd Zaidi, 6, disahkan menghidap penyakit sel otak mengecut sejak hujung Oktober tahun lalu.

Bapa kanak-kanak itu, Mohd Zaidi Ali, 38, berkata, penyakit itu dianggap misteri kerana dipercayai hanya satu kes sahaja berlaku di negara ini.

Menurutnya, dia dan isterinya, Rossa Timah Kadir, 36, tidak pernah putus berdoa agar Zafril Rifqi kembali normal seperti sediakala meskipun peluang anak keempat daripada lima beradik itu pulih amat tipis.

"Selagi saya bernyawa, amanah ALLAH ini tidak saya persiakan dan kami berusaha melakukan terbaik termasuk berkorban wang ringgit," katanya.

Menurut Mohd Zaidi, anaknya itu sebelum ini normal, namun selepas diserang penyakit itu, Zafril Rifqi hilang penglihatan dan keseimbangan badan 

"Zafril Rifqi mulanya rebah ketika sedang makan biskut di rumah. Waktu itu, keadaannya seperti terkena penyakit sawan.

"Malah, selepas itu, anak saya ditahan selama 10 hari di Hospital Teluk Intan (HTI)," katanya.

Katanya, semasa ditahan di HTI, pihak hospital menyarankan beliau merujuk penyakit Zafril Rifqi ke hospital swasta bagi menjalani ujian imbasan MRI.

"Sebelum ini, dia (Zafril Rifqi) tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. Namun, prestasi pembelajarannya dikesan merosot semasa di sekolah," katanya.

Mohd Zaidi berkata, dia dan isteri setiap hari bergilir tidak tidur malam bagi mengelakkan penyakit Zafril Rifqi datang secara mengejut.

"Penyakit ini menyerang tak kira waktu. Kadang-kadang berlaku pada awal pagi dan tengah malam.

"Kalau diamati penyakit ini seolah-olah macam sawan, tapi sebenarnya anak saya terbaring sebab kesukaran untuk bernafas," katanya.

Mohd Zaidi berkata, dia tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas ditimpa musibah apabila kaki kanannya patah akibat kemalangan di tempat kerja pada 2017.

"Ketika itu saya turun dari lori untuk menurunkan barang di sebuah bangunan di Selayang sebelum tulang kaki kanannya terkehel secara mengejut," katanya.

Ujarnya, dia dan isteri kini mencari pendapatan dengan menjalankan kerja pembersihan rumah penduduk dan bertukang bagi menyara kehidupan harian.

“Alhamdulillah rezeki sentiasa ada untuk keluarga. Cuma saya risau mengenai Zafril Rifqi dan kami sering berdoa semoga dia cepat sembuh," katanya.

Katanya, dia sekarang menanti pengesahan keputusan ujian Zafril Rifqi yang diketahui pada 6 Ogos depan.

"Sebelum ini, melalui Hospital Kuala Lumpur (HKL) kami dah hantar sampel darah Zafril Rifqi di Jerman dan sekarang masih menanti analisa ujian melalui sampel air liur dari Amerika Syarikat," katanya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubunginya di talian 010-5210177 atau 017-3894014.- Sinar Harian.

Artikel Lain