suria

Teruja dapat gaji, hasrat nak belanja anak tak kesampaian

Anggota Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Rantau Panjang sedang melakukan operasi menyelamat.

IMPIAN murni seorang bapa untuk berkongsi hasil 'titik peluh' setelah penat bekerja sebagai pengawal keselamatan bersama anak perempuan tunggalnya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Jeram Perdah-Rantau Panjang berhampiran Kampung Terusan dekat Rantau Panjang, Kelantan, petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, mangsa Mohd Noor Mat Jusoh, 39, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di Tunjung, Kota Bharu maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.

Ibu saudara mangsa, Rosnani Seman, 48, berkata, arwah dilihat begitu beria-ia mahu belanja anak makan sejurus menerima gaji pada Isnin.

"Sebelum kejadian (Isnin) dia sempat berbual-bual dengan saya dan berkongsi rasa teruja untuk menerima gaji kerana mahu belanja anak perempuan tunggalnya.

"Arwah sangat rapat dengan saya kerana rumah kami hanya bersebelahan. Setiap hari kami akan saling bertanya khabar lebih-lebih lagi arwah seorang yang peramah dan suka bergurau," katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Pasir Mas (HPM), Lati.

Menurutnya, arwah seorang anak yang cukup baik dan sanggup 'pencen' awal sebagai tentera demi menjaga ibunya, Zaharah Seman, 65 yang tinggal sendirian di Kampung Pangkal Danan, Pohon Buluh dekat Rantau Panjang.

"Sebenarnya dia baru sahaja berpisah dengan bekas isteri tiga bulan lalu namun hubungan mereka dan anak berusia enam tahun tetap baik. Malah saya sendiri terkilan kerana arwah tidak sempat menunaikan hasratnya untuk memberi wang sejumlah RM400 kepada anak kesayangannya," katanya.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Siasatan awal mendapati sebuah pacuan empat roda jenis Pajero dipercayai dari arah Rantau Panjang ke Jeram Perdah yang tiba-tiba hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan," katanya.

Menurutnya, ekoran itu pacuan empat roda tersebut telah melanggar motosikal tersebut.

Katanya, penunggang motosikal itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Sementara itu pemandu Pajero dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut. Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan," katanya. - Sinar Harian

Artikel Lain