YI YI yang bermaksud persahabatan menjadi nama pilihan bagi anak kedua panda gergasi dari pasangan Xing Xing dan Liang Liang. Pengumuman itu dibuat Menteri Air, Tenaga dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar di Pusat Konservasi Panda Zoo Negara di ibu negara, Khamis pagi. Turut hadir, Duta China ke Malaysia, Bai Tian. "Yi Yi dipilih bagi mengiktiraf hubungan persahabatan antara dua negara selama lebih 40 tahun," katanya. Yi Yi dilahirkan pada 14 Januari 2018 dengan berat 150 gram sebelum dipamerkan kepada umum pada 26 Mei 2018. Anak panda gergasi yang berusia 17 bulan itu kini mencapai berat 50 kilogram. Kata Dr Jayakumar, ketika ini, Yi Yi masih lagi meminum susu, selain mula memakan daun buluh dan lobak. Ibu bapa Yi Yi iaitu Xing Xing dan Liang Liang tiba di Malaysia pada Mei 2014 sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China. Pasangan itu mempunyai anak pertama, Nuan Nuan pada 15 Ogos 2015, hanya 15 bulan selepas tinggal di Zoo Negara. Anak panda betina itu berada di negara ini selama dua tahun sebelum dihantar pulang ke China pada November 2017 bagi memenuhi perjanjian yang dimeterai. Bagaimanapun bagi Yi Yi pula, anak panda gergasi ini akan berada di Malaysia selama empat tahun.