suria

120 kanak-kanak dan remaja bakal rebut gelaran Asia's Kids Star

Puteri Tunku Muna Najiah (tengah) pada majlis pelancaran Asia's Kids Star pada Rabu.

SENI warisan budaya sebaiknya dijaga dan dipupuk agar tidak hilang dek arus pembangunan.

Apa yang lebih penting, minat terhadap seni kebudayaan ini perlu disemai sejak awal usia lagi bagi memastikan generasi baharu ini terus mengenalinya.

Sejajar dengan itu sebuah pertandingan kebudayaan warisan negara peringkat antarabangsa  Asia’s Kids Star bakal berlangsung pada 5 Oktober ini.

Program ini bakal mengetengahkan bakat kanak-kanak seramai 120 orang dalam pelbagai cabang seni serta budaya warisan negara melalui pertandingan tarian, nyanyian, lukisan, pertunjukan fesyen, permainan muzik tradisional serta seni kraftangan.

Menurut penganjur program NQ Cultural Commercial Sdn. Bhd, pertandingan peringkat saringan akan diadakan bermula 25 Ogos ini bagi memilih bakat tempatan dalam kalangan kanak-kanak yang akan mewakili Malaysia dalam peringkat akhir Asia’s Kids Star.

“Ianya terbuka kepada semua kanak-kanak berumur tiga hingga 16 tahun tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Program ini diilhamkan bagi meraikan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara negara Malaysia dan China, khususnya dalam usaha melestarikan kebudayaan, kesenian serta mensejahterakan adat resam supaya lebih diketahui generasi masa kini," kata penganjur pada Khamis.

Menurutnya, ia turut mensasarkan penyertaan negara seperti Singapura, Thailand, Brunei, Filipina, Indonesia dan lain-lain negara jemputan.

“Selaras hasrat tersebut, keseluruhan rombongan peserta luar juga akan diperkenalkan dengan adat budaya seni negara menerusi program lawatan ke Pusat Kraftangan Negara, Balai Seni Lukis Negara dan Matic,” jelasnya.

Selain itu, semua peserta berpeluang merasai suasana berbeza seperti di luar bandar melalui pelbagai aktiviti yang disediakan di Semenyih Eco Resort.

“Program ini sekaligus dapat menyemarakkan serta menerapkan pembudayaan dalam kalangan kanak-kanak, ke arah penyatuan, perpaduan dan membina modal insan tanpa sempadan umur, agama serta bangsa.”

Majlis Pra Pelancaran Asia’s Kids Star bagi mengumumkan serta memperkenalkan dengan lebih dekat tentang perjalanan dan initipati program itu telah disempurnakan adinda Sultan Johor, Puteri Tunku Muna Najiah Almarhum Sultan Iskandar Al Haj pada Rabu.

Seni warisan, Asia, Kanak-Kanak

Artikel Lain