SEORANG penuntut Malaysia meninggal dunia dipercayai terjatuh dari pangsapuri yang menjadi kediamannya di Sydney, Australia pada Selasa. Memetik laporan sebuah portal berita, mangsa, Amirul Ashraff Md Azhar, 22, berasal dari Taiping, Perak adalah penuntut tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Technology Of Sydney. Menurut bapanya, Md Azhar Hasbullah, 48, dia telah dihubungi pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Australia pada pukul 4 petang Selasa dan memaklumkan anaknya terjatuh dari pangsapuri yang didiaminya yang terletak kira-kira lima kilometer dari universiti berkenaan. "Sehingga kini saya menunggu maklumat lanjut dari Mara kerana dia adalah pelajar tajaan badan itu,” katanya. Menurutnya, Amirul Ashraff sebelum ini ada menghubunginya memberitahu dia gagal lima subjek dan perlu membuat rayuan kepada Mara. “Dia sudah membuat rayuan kepada Mara, namun saya merasakan dia tertekan. Apa pun, saya kini sedang menunggu maklumat lanjut daripada pegawai di sana. “Dia tidak menceritakan masalah lain selain gagal lima subjek berkenaan,” katanya. Jelasnya, kali terakhir dia menghubungi Amirul Ashraff adalah pada 30 Julai lalu ketika sambutan ulang tahun kelahiran. “Dia baru seminggu menyambut ulang tahun kelahiran. Saya kini menunggu perkembangan daripada pegawai Mara di sana. “Jenazah akan dikebumikan di Taiping selepas selesai semua urusan nanti,” katanya. - Sinar Harian