suria

Polis London, Ireland bantu cari Nora Anne

Mangsa, Nora Anne Quoirin, hilang sejak 4 Ogos lalu.

PASUKAN polis dari England, Ireland dan Perancis kini berada di Malaysia untuk membantu siasatan berhubung kes kehilangan kanak-kanak warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, pasukan tersebut berada di sini sejak minggu lalu namun mereka tidak terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), sebaliknya hanya dari segi siasatan kes.

"Namun mereka (polis) ini bukan dari United Kingdom's National Crime Agency, Scotland Yard dan An Garda Síochána sepertimana yang dilaporkan oleh beberapa media antarabangsa," katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai di Seremban pada Isnin.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah sebenar pasukan polis tersebut, beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata, operasi hari ini diperkuatkan lagi dengan kekuatan 353 orang terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta lain-lain agensi.

"Operasi hari ini tertumpu ke kawasan Gunung Berembun yang melibatkan Unit Komando (VAT 69), Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta dan Batalion 3 (Senoi Praaq) iaitu pencarian adalah 12 Kilometer radius.

"Kekuatan pasukan SAR khas untuk tugasan ini adalah seramai 176 orang dan waktu ini mereka masih berada dalam kawasan operasi pencarian.

"Walaupun dalam keadaan cuaca hujan dan lembap, pencarian tetap dijalankan. Komitmen dan dedikasi petugas-petugas SAR yang melibatkan lain lain agensi selain polis ini merupakan satu manifestasi semangat kerjasama yang tidak pernah luntur dalam usaha mencari mangsa tanpa mengira cuaca," katanya.

Namun ketika ditanya oleh media mengenai bantuan dan usaha yang dilakukan oleh kumpulan pengamal perubatan tradisional sejak pagi tadi di lokasi pencarian, Che Zakaria bagaimana pun tidak mahu mengulas mengenainya. - Sinar Harian.

Artikel Lain