suria

Ragam peserta berucap 62 jam memang sempoi... ada kena ‘panic attack’, menangis dek ‘body shaming’ dan paling selamba si cilik 8 tahun!

(Kiri) Peserta termuda yang mengambil bahagian dalam projek pengucapan awam bebas selama 62 jam. (kanan) Gaya peserta yang berucap dalam bahasa Inggeris dengan pelat Amerika, British dan Perancis. Foto Facebook UiTM Cawangan Perak - Media FB Rasmi

MERIAH! Hangat diperkatakan mengenai projek pengucapan awam bebas selama 62 jam tanpa henti untuk rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBR), atau The Malaysia Book of Records: The 62 Hours Independence Public Speaking 2019.

Program bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-62 itu anjuran UiTM cawangan Perak kampus Tapah dan Persatuan Siswa-Siswi Diploma Perakaunan (Persida) di kampus berkenaan.

Penolong Rektor UiTM Perak cawangan Perak kampus Tapah, Dr Mohamed Imran Mohamed Ariff berkata, program itu juga sempena ulang tahun ke-20 penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dinaik taraf daripada Institusi Teknologi Mara (ITM) pada 1999.

Antara peserta yang mengambil bahagian. Foto Facebook UiTM Cawangan Perak - Media FB Rasmi

Menurutnya, program itu bertujuan untuk menyediakan platform kepada pelajar dan kakitangan termasuk sukaralewan bagi menyuarakan pandangan mereka.

“Seramai 359 peserta mengambil bahagian daripada permulaan cabaran pada pukul 9 pagi, Jumaat, 23 Ogos 2019 sehingga 12 tengah hari Isnin, 26 Ogos 2019 di Auditorium Zeta, UiTM Tapah.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 85 peratus terdiri daripada pelajar UiTM dan institusi pengajian tinggi lain di seluruh negara, dan selebihnya adalah kakitangan dan sukarelawan,” katanya kepada mStar.

Dr Mohamed Imran Mohamed Ariff.

Dr Mohamed Imran yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Sains Komputer berkata, topik adalah bebas dengan kebanyakannya berucap mengenai motivasi, teknologi dan sukan.

“Masa yang diberikan kepada setiap peserta untuk membuat pengucapan awam adalah 10 minit. Namun, sambutan penyertaan yang amat menggalakkan menyebabkan masa terpaksa dipendekkan dari lima ke lapan minit seorang.

“Menariknya, pengucapan awam boleh dibuat dalam pilihan tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Keseluruhannya empat pelajar menyahut cabaran berucap dalam Bahasa Arab,” katanya.

Para peserta mencari pengalaman berucap di khalayak ramai. Foto Facebook UiTM Cawangan Perak - Media FB Rasmi

Sementara itu, Pengarah program, Rasydan Mohd Hassan, 21, berkata, pelbagai ragam dan aksi dapat disaksikan sepanjang pengucapan awam selama 62 jam itu.

Rasydan yang juga Presiden Persida berkata, antara yang menarik perhatian mengenai seorang pelajar perempuan yang mengalami panic attack semasa berucap.

“Pelajar ini hampir nak pengsan dan perasaan gugupnya memang sukar untuk diatasi. Bagaimanapun, semua orang memberikan tepukan dan sorakan gemuruh bagi memberi semangat kepada pelajar itu.

“Dalam keadaan gugup tu, dia masih mampu untuk berucap mengenai topik pedofil yang sedang hangat diperkatakan, sehingga lapan minit. Bukan dia sahaja, ramai juga yang pertama kali buat pengucapan awam sampai ada yang kata selama ini mereka tak pernah bercakap depan orang ramai,” katanya.

Rasydan Mohd Hassan.

Menurut Rasydan, tidak terikat dengan sebarang topik khusus mendorong segelintir pelajar berkongsi kisah cinta mereka, sama ada secara umum mahupun berdasarkan pengalaman sendiri.

“Ada seorang pelajar lelaki berkongsi kisah mengenai dia ditinggalkan kekasih, kemudian mengalami kemurungan sehingga perlu menjalani rawatan. Mungkin disebabkan pengalaman sendiri, jadi penceritaannya penuh perasaan.

“Ada juga yang menangis semasa berucap, tapi topik yang dibawakan adalah mengenai body shamming apabila dia mengakui pernah menjadi mangsa buli kerana bertubuh gempal.

“Tapi katanya kecaman itu yang memberi kekuatan kepadanya kerana dia tahu masyarakat masih mengambil tahu dan memberi perhatian pada dirinya,” katanya.

Peserta termuda, Adam Amir Hakim.

Namun siapa sangka muncul seorang peserta termuda yang baru berusia lapan tahun dengan telatahnya yang mencuit hati sewaktu membuat pengucapan awam.

“Peserta termuda itu merupakan anak seorang kakitangan. Dia berucap mengenai bagaimana mahu hidup dalam keadaan harmoni.

“Aksinya spontan, lincah dan bersahaja. Macam dah ada pengalaman, tak kekok atau malu apabila berucap di khayalak, memang comel dan mencuit hati,” kata Rasydan sambil menambah ada seorang pelajar yang berucap dalam bahasa Inggeris dengan pelbagai pelat Amerika, British dan Perancis.

Artikel Lain