suria

Dera anak 6 tahun guna rotan, suri rumah terima padah dijel 7 bulan

Tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan penderaan kepada kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kecederaan iaitu kesan rotan pada bahu kanan mangsa. Gambar Hiasann.

AKIBAT mendera anak sulung perempuannya berumur 6 tahun menggunakan rotan sehingga cedera pada bahu kanan, seorang suri rumah dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas wanita berusia 29 tahun itu selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan kes hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang juga ibu kandung mangsa menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 22 Julai lalu.

Tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan penderaan kepada kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kecederaan iaitu kesan rotan pada bahu kanan mangsa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di ruang tamu rumahnya di sebuah flat di Sentul pada 11.30 malam 18 Julai 2019 mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

“Tindakan tertuduh merotan anaknya sehingga cedera atas alasan untuk mendisiplinkan anak adalah tidak munasabah,” katanya.

Bagaimanapun, wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia mempunyai dua lagi anak berusia 3 tahun dan 8 bulan. - Bernama.

rotan, dera, denda

Artikel Berikut

RON97 turun satu sen

Artikel Lain