suria

Agong turun dari kenderaan periksa mangsa kemalangan

Sultan Abdullah dilihat turun melihat keadaan mangsa kemalangan.

SIKAP keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tidak dapat dinafikan lagi apabila kali ini Seri Paduka bertindak turun dari kenderaan rasmi untuk memeriksa keadaan seorang mangsa kemalangan, berhampiran persimpangan USJ, Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), petang Sabtu.

Perkara itu dikongsikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam laman sosial Instagramnya kira-kira pukul 6 petang Sabtu.

Berdasarkan perkongsian itu, Al-Sultan Abdullah dilaporkan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri program ‘Anak-anak Malaysia Walk 2019’ di Eco Ardence di Setia Alam dekat Shah Alam.

Mangsa berkenaan, seorang wanita, dilaporkan mengalami kecederaan ringan apabila kenderaannya terbabas dan terbalik di laluan kanan lebuh raya itu.

Menerusi perkongsian itu juga, Seri Paduka kemudian menitahkan polis pengiring menghantar mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

Jun lalu, Al-Sultan Abdullah turut membantu mangsa kemalangan di Putrajaya ketika dalam perjalanan menghadiri Mesyuarat Pra-Kabinet dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati. – BERNAMA

Sultan Abdullah, Agong, prihatin

Artikel Lain