suria

Agong serikan acara #AnakAnakMalaysia Walk 2019

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) mengangkat bendera sebagai tanda bermulanya #AnakAnakMalaysia Walk 2019.

KEMERIAHAN berganda buat peserta-peserta #AnakAnakMalaysia Walk 2019 yang  menyambut Hari Kemerdekaan ke-62 di Eco Ardence Sales Gallery, Shah Alam pada petang Sabtu ini.

Lebih meriah semua peserta dilepaskan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kehadiran Agong serta beberapa menteri kabinet mencerminkan komitmen baginda dalam mempromosikan aktiviti patriotik yang melibatkan penyertaan rakyat pelbagai bangsa dan agama, demikian menurut kenyataan Istana Negara.

"Sebagai ketua negara dan lambang perpaduan negara, kehadiran Sultan Abdullah pada acara itu juga menggariskan ikrarnya untuk menegak, menguatkan dan memelihara keharmonian dan perpaduan serta menyatukan masyarakat daripada pelbagai bangsa dan agama di negara ini."

Sultan Abdullah turut beramah mesra dengan peserta-peserta #AnakAnakMalaysia Walk 2019.

Baginda tiba kira-kira pukul 4.45 petang dan disambut meriah oleh semua peserta yang sudah berkumpul sejak pukul 2.30 petang serta diiringi Pengerusi Kumpulan Star Media Datuk Fu Ah Kiow, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Andreas Vogiatzakis dan lain-lain lagi.

Selepas ucapan ringkas oleh pengerusi program #AnakAnakMalaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, baginda merasmikan acara  berjalan kaki sejauh 5.5km yang bertujuan mempromosikan kepelbagaian dan penyatuan antara kaum.

Baginda turut berjalan sejauh 300 meter selama 10 minit diriingi menteri-menteri dan tokoh-tokoh penting lain.

Sebahagian peserta-peserta yang mengambil bahagian dalam program #AnaKAnakMalaysia Walk 2019.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Pelbagai aktiviti seperti gerai makanan, bazar dan pameran diteruskan sehingga malam dan bakal berakhir dengan percikan bunga api. Acara yang memasuki edisi kelima tahun ini bertemakan #BetterMeBetterMalaysia.

#AnakAnakMalaysia Walk 2019 adalah kerjasama antara pemaju hartanah Malaysia terkenal Eco World Development Group Bhd dan Kumpulan Media Star.

yuhPenaja utama acara ini termasuk Panasonic (penaja perak) dan DRB-Hicom (penaja kereta).  

AnakAnakMalaysiaWalk, 209, SMG

Artikel Lain