suria

Zahir minta ikan sembilang, “Dia kata nak balik kampung malam ni”

Rusunjan Mohammad.

IBU kepada Mejar Mohd Zahir Armaya, Rusunjan Mohammad memberitahu dia berada di pasar apabila menerima panggilan memaklumkan kematian anaknya semasa melakukan demonstrasi di Kem Lok Kawi di Kota Kinabalu, Sabah.

Wanita berusia 57 tahun yang berasal dari Tuaran itu sebenarnya sedang membeli pelbagai barang masakan untuk makan malam memandangkan Zahir akan 'balik kampung' selepas tujuh tahun tidak menjejak kaki ke Kampung Indai yang juga kampung kediaman ibunya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadirin, media terkejut demonstrasi berakhir tragedi! Ini detik cemas sebelum anak AR Badul meninggal dunia terkena tembakan

"Dia hubungi saya kira-kira pukul 7 pagi beritahu dia mahu pulang ke Tuaran untuk makan malam (Rabu). Dia minta ikan sembilang," kata Rusunjan ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth.

"Saya berada di pasar apabila seseorang dari pejabat mereka hubungi saya memaklumkan berita sedih itu.

Gambar kenangan Mejar Mohd Zahir (kanan) bersama temannya.

"Sebagai ibu saya reda dengan apa yang berlaku. Saya harap dia boleh dikebumikan di sini tetapi isterinya mahu dia dibawa pulang ke Perak," kata Rusunjan yang kali terakhir bertemu Zahir di Kuala Lumpur bulan lalu.

Sementara itu, bapa saudaranya, Mirdat Mohammad yang juga adik bongsu Rusunjan berkata, keluarganya berharap agar pihak berkuasa akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengetahui punca sebenar insiden tersebut.

"Walaupun kami reda dengan pemergiannya, kami harap siasatan terperinci akan dilakukan dan jika ada kesilapan kami harap ia tidak akan berulang di kemudian hari.

"Kami tidak menyalahkan sesiapa, terdapat banyak andaian dan kami harap polis dan pihak tentera menyiasat punca sebenar insiden itu," katanya yang meminta orang ramai supaya tidak mempolitikkan isu berkenaan.

Sementara itu, jenazah Zahir akan dibawa ke Masjid As Salam di Lok Kawi selepas bedah siasat dilakukan.

Selepas itu, jenazahnya akan diterbangkan ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 9.25 malam Rabu dan dikebumikan di Tambun, Perak.

Artikel Lain