SEMUA sekolah kerajaan dan swasta di Selangor akan ditutup pada Khamis dan Jumaat. Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Selangor berkata, pendedahan berterusan kepada jerebu akan meningkatkan risiko kesihatan terhadap orang ramai khususnya kanak-kanak, orang tua, wanita mengandung dan pesakit jantung serta paru-paru. Berdasarkan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia pada Selasa, jerebu dijangka berterusan sehingga minggu hadapan. Pemantauan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di semua stesen juga menunjukkan bacaan tidak sihat dan sangat tidak sihat. Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berasingan berkata, 939 sekolah melibatkan 911,874 pelajar di Selangor akan ditutup selama dua hari. Ia termasuklah tadika swasta di negeri itu. Selain Selangor, semua sekolah di Pulau Pinang dan Putrajaya juga akan ditutup pada Khamis. - The Star.