suria

Cekup 16 pengganas Daesh, 12 daripadanya rancang serang ahli politik Malaysia dan Indonesia

ENAM belas individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan pengganas Daesh serta merancang menyerang negara ini dan Indonesia.

Daripada jumlah itu, kumpulan 12 anggota melibatkan rakyat kedua-dua negara merancang  menyerang ahli politik dan penganut bukan Islam di kedua-dua negara atas alasan mereka menindas dan tidak menghormati ajaran Islam serta kaum Melayu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua suspek terdiri daripada 12 warga Indonesia, tiga warga tempatan dan seorang warga India.

"Kesemua suspek antaranya ditahan di sekitar Sabah, Pahang, Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur dalam operasi khas antara 10 Ogos sehingga semalam,” katanya dalam sidang media khas Ketua Polis Negara di Bukit Aman.

Kata Ayob Khan, tangkapan pertama dibuat pada 10 Julai di Keningau, Sabah melibatkan seorang pekerja ladang kelapa sawit.

Katanya, warga Indonesia berusia 25 tahun itu mula berbaiah dengan pemimpin Daesh, Abu Bakar Al Baghdadi melalui aplikasi Telegram sejak 2018.

"Suspek adalah fasilitator yang menguruskan kemasukan sepasang suami isteri warga Indonesia bersama tiga anaknya yang melakukan serangan bunuh diri ke atas sebuah gereja di Jolo Filipina pada Disember tahun lalu.

"Suspek juga dipercayai menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas Maute di Selatan Filipina serta merancang untuk berjihad di Syria," katanya.

Beliau berkata, pada 2 Ogos pula, tangkapan kedua di Subang Jaya melibatkan seorang wanita warga India berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pembantu pembersihan rumah.

"Sejak 2017 wanita ini menganggotai kumpulan Sikh For Justice (SFJ) yang diharamkan di India dan berperanan sebagai penyalur dana kepada kumpulan itu," katanya.

Susulan itu katanya, dua lelaki rakyat tempatan berusia 21 dan 26 tahun turut berjaya ditahan di Keningau dan Tenom Sabah pada 6 September juga berperanan sebagai fasilitator terhadap serangan di Jolo Selatan Filipina.

Tambahnya lagi, operasi bermula 14 September hingga 25 September di sekitar Miri, Sarawak, Pulau Pinang, Pahang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor pula dapat melumpuhkan sel baharu Daesh.

Ia hasil kerjasama rakyat Malaysia dan Indonesia membabitkan 12 individu berusia antara 22 hingga 36 tahun, termasuk seorang wanita.

"Kumpulan membabitkan seorang lelaki tempatan dan 11 warganegara Indonesia termasuk wanita berkenaan ini aktif mempromosikan ideologi Daesh dan merekrut anggota baharu menerusi laman sosial terutama rakyat Malaysia dan Indonesia yang merancang untuk melakukan serangan terhadap kedua-dua negara berkenaan selepas merekrut seramai mungkin anggota," katanya.

Semua suspek disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) manakala wanita warganegara India terbabit ditahan mengikut Akta Imigresen dan diusir ke negara asalnya pada 15 Ogos lalu.


Daesh, Ayob Khan, pengganas, Filipina

Artikel Lain