suria

Gagal siapkan tugasan Matematik, seorang pelajar 'distapler' telinga!

Hukuman diberikan oleh guru agar pelajar lebih berdisiplin. -Gambar hiasan

'GURU ibarat lilin, membakar diri bagi menerangi yang lain,' antara ungkapan yang sering disebut tentang pengorbanan seorang guru dalam mendidik pelajar.

Menjadi kebiasaan kepada pelajar yang nakal menerima hukuman dari seorang guru bagi memupuk pelajar tersebut agar lebih berdisiplin.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen Puji Denda 'Luar Biasa' Pelajar Lewat Ke Sekolah

Namun, lain pula cerita yang dihadapi oleh seorang pelajar lelaki dari sekolah rendah di daerah Likas, Kota Kinabalu apabila cuping telinganya diketip dengan menggunakan stapler pada Jumaat lalu.

Pelajar tahun empat itu, menerima hukuman tersebut atas alasan gagal menyiapkan tugasan Matematik.

Mangsa dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas bagi mendapatkan rawatan. Hasil pemeriksaan fizikal mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan teruk, hanya kesan merah di bahagian telinga kiri.

Difahamkan, ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis sejurus dimaklumkan tentang insiden tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata pihaknya ada menerima laporan daripada seorang ibu mengatakan anak lelakinya berumur 10 tahun distapler di bahagian telinga kiri oleh seorang guru.

Menurut Habibi lagi, berdasarkan siasatan awal mendapati stapler yang digunakan adalah kosong atau tidak berisi dawai kokot. Guru terbabit hanya ingin menakut-nakutkan pelajar berkenaan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mencederakan orang lain dengan menggunakan senjata atau barangan berbahaya. -BERNAMA

Guru, denda, pelajar

Artikel Lain