suria

“Tidak berlaku kucar-kacir, kekasaran” - Bertindak atas aduan, KKM jawab kenapa pejabat pakar perbidanan diserbu

Dr Hamid Arshat meluahkan rasa terkilan berhubung serbuan KKM di pejabatnya melalui posting yang dimuat naik pada Khamis.

SERBUAN ke atas premis seorang pakar perbidanan dan sakit puan di Bukit Damasara, Kuala Lumpur pada Rabu dilakukan berdasarkan aduan awam kerana disyaki memiliki produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh turut mendedahkan fasiliti tersebut tidak pernah berlesen dengan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) KKM sejak penubuhannya.

ARTIKEL BERKAITAN: 43 tahun jadi pakar bidan... Dr Hamid Arshat terkilan pejabat diserbu, staf muda bertindak kasar - “Datang mengejut seolah-olah saya penjenayah”

"Sebelum pemeriksaan dijalankan ke atas premis DHA Healthcare Enterprise di Bukit Damansara, siasatan awal mendapati premis tersebut telah disahkan memiliki dan menjual produk sasaran berdasarkan belian percubaan (test buy) berserta resit bayaran.

"Meskipun produk tersebut didapati tiada lagi di premis ketika pemeriksaan dijalankan, bahan iklan berbentuk risalah produk tidak berdaftar tersebut telah ditemui di premis terbabit.

"Pemeriksaan yang dilakukan oleh anggota penguatkuasa Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan itu adalah mengikut prosedur dan standard operasi iaitu bersandarkan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan yang ditetapkan oleh KKM," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada malam Khamis.

Beliau turut menafikan berlaku kekasaran ketika serbuan dilakukan seperti mana yang dilaporkan di media sosial.

"Pemeriksaan tersebut telah dijalankan dengan penuh berhemah dan beretika serta dalam keadaan yang tenang. Tidak berlaku sebarang kucar-kacir atau kekasaran seperti yang dilaporkan di media sosial," katanya.

Berkenaan perlesenan premis tersebut, Dr Param berkata meskipun banyak perbincangan dan usaha oleh CKAPS untuk memudahcara perlesenan premis ini, namun pemilik masih tidak dapat memenuhi syor yang diberi supaya ianya dapat dilesenkan sebagai fasiliti kesihatan swasta berlesen yang sah.

"Oleh itu, pada 26 Februari 2016, CKAPS telah mengeluarkan satu surat arahan supaya premis ini menghentikan operasi perkhidmatan kesihatan.

"Memiliki atau menjual produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan KKM adalah merupakan pelanggaran di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan ianya boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Susulan itu, Dr Param turut menasihati orang ramai untuk tidak membeli dan memgambil sebarang ubat dan produk kesihatan tidak berdaftar dengan KKM yang dijual di pasaran.

"KKM turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik dijual serta memastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang dikuatkuasakan," katanya.

"Orang ramai boleh membuat semakan kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.moh.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 selain memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk," katanya.

Beliau berkata, semua pihak digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk meragukan sebagai usaha bersama pihak KKM untuk membanteras penjualan produk kesihatan tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.

Aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berhampiran.

"Orang ramai juga boleh menghubungi talian 03 78413200 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran," katanya.

Pada Rabu, Dr Hamid Arshat melalui posting di Facebooknya meluahkan rasa kesal dan kecewa selepas premisnya diserbu pengawai KKM tanpa diberikan sebarang notis dan tujuan yang jelas selain mendakwa kakitangan-kakitangan yang melakukan serbuan bertindak kasar.

KKM, Dr Hamid Arshat, lesen, kelulusan, serbuan

Artikel Lain