suria

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

MALAYSIA kini menuju ke ‘negara tua’ dan pelbagai inisiatif diperkenalkan untuk menggalakkan golongan pesara kembali sebagai tenaga kerja yang aktif.

Mungkin kebanyakannya tidak sabar-sabar lagi menanti umur mencecah 60 tahun hanya kerana mahu berehat sepuas-puasnya selepas bekerja sejak usia muda.

Namun kesannya terhadap mental dan fizikal didapati semakin merosot beberapa tahun selepas persaraan kerana kurangnya rangsangan sosial dan minda.

Sehubungan itu, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menganjurkan Karnival Rasa Sayang (KRS) 2019 di pekarangan Stadium Shah Alam pada Sabtu lalu bagi mempromosikan penuaan aktif dalam kalangan pesara di Malaysia.

Pelbagai inisiatif diperkenalkan untuk menggalakkan golongan bakal pesara/pesara kembali aktif. Gambar sekadar hiasan/M. Azhar Arif

Sempena KRS 2019, KWAP mengumumkan Sariah Amirin, 75, sebagai penerima Anugerah Ikon Pesara (AIP) yang buat julung kalinya diadakan di negara ini untuk mengiktiraf pesara sektor awam atas sumbangan mereka kepada masyarakat dalam bidang pendidikan, sosial dan pembangunan komuniti serta keusahawanan selepas bersara.

Sumbang kepada masyarakat 

Di bawah kategori pendidikan, Sariah yang merupakan Pengasas dan Presiden Persatuan Disleksia Malaysia memenangi anugerah tersebut berdasarkan pencapaian dan sumbangan beliau kepada individu-individu yang menghidap disleksia.

(gambar fail) Sariah bersama kanak-kanak dalam kelas. Foto Uu Ban Leong

“Kesedaran untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat selepas bersara tercetus sejak saya masih bertugas di Jabatan Pelajaran selama bertahun-tahun, apabila ibu bapa sering mengadu anak-anak mereka normal, tetapi budak itu melakukan kesilapan semasa membuat kerja-kerja sekolah.

“Mereka sebenarnya cerdik pandai dan bukannya lembam, tetapi menghadapi kesukaran membaca, mengira dan menulis. Jadi, saya mula membabitkan diri membantu kanak-kanak disleksia,” katanya kepada mStar.

Selepas bersara dari sektor awam, Sariah membangunkan program pemulihan intensif selama tiga bulan untuk membantu kanak-kanak disleksia membaca, dan seterusnya membuka 15 pusat disleksia di seluruh Malaysia.

Beliau menerbitkan satu set 10 buku disleksia dalam Bahasa Malaysia untuk tahap permulaan yang digunakan di sekolah-sekolah disleksia di seluruh negara.

Sariah turut menganjurkan kursus kaedah pengajaran untuk ibu bapa supaya mereka lebih bersedia dalam membantu kanak-kanak disleksia mereka di rumah.

(gambar fail) Sariah bersama murid-murid melihat pameran lukisan. Foto Mohd Sahar Misni

Ditanya mengenai pengalaman sepanjang pembabitannya membantu kanak-kanak disleksia selama 26 tahun sekali gus mengundang sebak anak jati Kuala Lumpur ini.

Dengan suara yang tersekat-sekat, Sariah berkata, program pemulihan intensif itu melahirkan ramai golongan profesional dan berjaya dalam bidang masing-masing.

“Kumpulan pertama program telah melahirkan ramai individu yang berjaya, ada yang jadi pilot, arktitek dan peguam. 

“Saya menangis sebab terlalu gembira sebab siapa sangka mereka dahulunya merupakan kanak-kanak disleksia kini menjadi insan berjaya seperti orang normal yang lain,” katanya yang mempunyai visi untuk membantu penghidap disleksia di peringkat sekolah menengah pada masa akan datang.

Persaraan berbaloi

Anugerah Ikon Pesara yang diperkenalkan oleh KWAP pada KRS 2019 mendapat sokongan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

Ia disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan dan Pengerusi KWAP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd dan Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Syed Hamadah Syed Othman.

(gambar fail) Sariah menunjukkan salah satu kaedah pembelajaran untuk kanak-kanak diskelsia. Foto A. Malex Yahaya

Dalam pada itu, Sariah amat menghargai pengiktirafan yang diberikan oleh KWAP dan menyifatkan semangatnya untuk terus aktif selepas persaraan berbaloi.

“Saya sangat meminati bidang pendidikan dan peluang bekerja dengan kumpulan disleksia membantu saya untuk kekal aktif sepanjang tempoh persaraan.

“Saya berharap pesara lain akan terus aktif dengan aktiviti-aktiviti yang menarik minat mereka dan menyumbang semula kepada masyarakat,” ujar Sariah.

Fasa hidup menarik

KRS 2019 merupakan anjuran kedua oleh KWAP yang mana pertama kali diadakan di Ipoh, Perak pada tahun lalu.

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif dana persaraan itu untuk menjalankan aktiviti di luar fungsi utamanya yang melibatkan pentadbiran pelaburan dan pengurusan pencen.

Objektif karnival tersebut adalah untuk mengetengahkan lima elemen utama kesejahteraan persaraan yang meliputi aspek kewangan, kesihatan, persekitaran hidup, psikologi dan sosial seseorang.

Syed Hamadah berkata, 20 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia akan berumur 65 tahun ke atas menjelang 2040. 

Syed Hamadah Syed Othman.

Justeru katanya, rakyat Malaysia seharusnya menghargai kesejahteraan persaraan. 

“Persaraan boleh menjadi fasa hidup yang menarik terutamanya apabila anda memperolehi maklumat tentang pelbagai peluang yang terdapat di luar sana selepas bersara. Inilah yang dilakukan oleh pemenang AIP,” katanya.

Perkasa kehidupan bakal pesara, pesara

Mengenai karnival, Syed Hamadah berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasakan kehidupan bakal pesara dan pesara.

“KRS adalah aktiviti jangkauan yang membolehkan KWAP untuk terus terlibat dengan pihak berkepentingan kami, iaitu pesara-pesara di Malaysia.

“Terdapat pelbagai aktiviti yang disediakan khas untuk keperluan bakal pesara dan pesara di karnival ini,” tambahnya.

Larian Rasa Sayang adalah salah satu aktiviti yang menggalakkan gaya hidup sihat dan penuaan aktif dalam kalangan persara dan keluarga mereka di KRS 2019.

KRS 2019 pada Sabtu lalu menghimpunkan pelbagai aktiviti seperti bengkel perancangan kewangan, seminar pekerjaan, gerai pameran yang menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan persaraan, demonstrasi masakan makanan yang sihat dan pelbagai acara berbentuk pendidikan dan hiburan untuk seluruh keluarga.

Karnival tersebut turut menampilkan personaliti tempatan seperti Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Datuk Zainal Abidin, Datuk Rosyam Nor, Datuk Fazley Yaakob, Amy Search, Dina Nadzir, Adi Fashla dan Kevin Zahri.

KRS 2019 dimulakan dengan Larian Rasa Sayang melibatkan lebih 3,000 peserta. Kira-kira 40 penaja, rakan kongsi dan peserta pameran menyertai acara tersebut.

KRS 2019 mempunyai pelbagai pameran dengan tiga bidang focus utama; Hobi, Pelancongan & Gaya Hidup dan Kerjaya. Hire.Seniors antara peserta pameran untuk membantu pesara kembali semula ke tenaga kerja.

Aplikasi MyPesara

Sempena karnival anjuran KWAP, turut diadakan perkongsian mengenai aplikasi MyPesara, aplikasi pintar yang dibangunkan untuk memudahkan pesara kerajaan mengakses maklumat seperti data peribadi, data perkhidmatan dan maklumat pembayaran pencen setiap bulan.

Berikut adalah ciri-ciri aplikasi MyPesara:

1. Pengumuman terkini – Mendapat maklumat terkini berkenaan persaraan.

2. Maklumat peribadi – Kemaskini dan info lengkap individu pesara.

3. Maklumat perkhidmatan – Kenali aplikasi MyPesara melalui maklumat perkhidmatan.

4. Info pembayaran pencen – Maklumat pembayaran bulanan di mana-mana sahaja.

5. Temujanji – Buat temujanji bersama pegawai berkenaan dengan mudah.

6. Tips pengurusan kesihatan dan kewangan – Ketahui gaya hidup sihat dan belajar mengurus wang dengan tips bermanfaat.

7. Manfaat persaraan – Dapatkan diskaun dan baucar khas buat pesara di bawah satu teras.

8. Aplikasi MyPesara boleh dimuat turun dari sistem operasi Android dan iOS.

Caranya mudah, muat turun aplikasi ke telefon, memasukkan nombor kad pengenalan, pencen dan tahun persaraan sebelum menggunakannya.

Artikel Lain