BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebaban. Begitulah yang dapat menggambarkan nasib kakitangan syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang menamatkan operasinya pada Rabu. Perkara itu disahkan menerusi satu memorandum pekeliling yang dikeluarkan pada pagi ini. ARTIKEL BERKAITAN: Utusan tidak mampu bayar gaji, bakal ditutup ARTIKEL BERKAITAN: Utusan akan terus beroperasi, dua akhbar naik harga Lebih pilu, memorandum itu turut memberi arahan kepada semua kakitangan untuk mengemas tempat kerja, mengambil barang peribadi masing-masing dan mengembalikan semua peralatan dan harta syarikat termasuk kad akses dan kunci pejabat selewat-lewatnya 1 tengah hari, Rabu. Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir, operasi syarikat yang bermula sejak 80 tahun lalu itu semakin merosot sejak Mei 2018. "Pelbagai usaha telah dilaksanakan dengan harapan untuk meletakkan syarikat kepada kedudukan yang lebih kukuh dan terjamin. Sebahagian memorandum pekeliling yang diterbitkan pada Rabu. "Syarikat juga telah berusaha dengan menjual aset-aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai mencukupi," ujarnya. Namun, usaha itu gagal kerana edaran harian Utusan Malaysia dan Kosmo semakin menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan gagal dicapai sekaligus menyebabkan aliran tunai semakin tenat. Selain kegagalan membayar gaji pekerja mengikut masa, hutang juga tidak dapat dijelaskan sehingga berlaku tunggakan. Malah, syarikat itu turut berhadapan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang-pemiutang. Sehubungan itu, cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditor's Voluntary Liquidation) telah diluluskan pada Isnin lalu. UHY Advisory ((KL) Sdn Bhd turut dilantik sebagai Pelikuidasi Interim kerana Lembaga Pengarah berpendapat syarikat tidak lagi mampu meneruskan perniagaan.