suria

Graduan menganggur, wanita tumpuan inisiatif #MalaysiaKerja

Graduan yang menganggur diberikan peluang pekerjaan. Gambar sekadar hiasan

GRADUAN yang menganggur melebihi 12 bulan akan diberikan peluang pekerjaan menerusi pelaksanaan #MalaysiaKerja (Malaysians@Work).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan melancarkan inisiatif #MalaysiaKerja yang bertujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah. 

Beliau berkata, #MalaysiaKerja dibahagikan kepada empat program yang disasarkan kepada pekerja dan majikan dengan menyediakan pelbagai insentif.

“Graduan yang menerima tawaran kerja akan menerima insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan sebagai tambahan kepada gaji yang diterima. 

“Manakala majikan pula akan menerima insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Parlimen di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Guan Eng berkata, #WanitaKerja pula bertujuan mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan setahun untuk golongan itu yang berusia antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti bekerja selama setahun atau lebih.

“Wanita yang kembali bekerja akan diberi insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan, manakala majikan pula akan diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh yang sama. 

“Sebagai tambahan, pengecualian cukai pendapatan bagi wanita yang kembali bekerja akan dilanjutkan empat tahun lagi sehingga 2023.

Selain itu, katanya, #WatanKerja adalah program kesamarataan kos pengambilan pekerja yang bertujuan mengalihkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah. 

Beliau menambah, warganegara yang menggantikan pekerja asing akan diberikan insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor. 

“Manakala, majikan pula akan menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan dalam tempoh yang sama,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, #PerantisKerja adalah program insentif Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional  (TVET) dalam bentuk elaun tambahan sebanyak RM100 sebulan untuk pelajar dalam kursus TVET bertujuan menggalakkan lebih ramai belia menyertai kursus TVET.

“Justeru, kerajaan juga akan melanjutkan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat yang menyertai Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi tempoh dua tahun lagi. 

“Sebagai tambahan, potongan cukai dua kali yang telah diberikan kepada syarikat yang melaksanakan Program Internship Berstruktur (SIP) yang diluluskan oleh TalentCorp bagi pelajar yang mengikuti bidang kejuruteraan dan teknologi akan diperluaskan kepada semua bidang akademik yang lain,” katanya.

Empat teras tunjang Belanjawan 2020 adalah memacu pertumbuhan ekonomi dalam ekonomi baharu dan era digital, pelaburan ke atas rakyat meningkatkan keupayaan modal insan, mewujudkan masyarakat bersatu, inklusif, saksama dan memulihkan institusi dan kewangan awam.

Artikel Lain