suria

Empat mangsa belon meletup keluar hospital hari ini

Sri Rahayu Sugiono menunjukkan kesan lecur pada telinga anaknya Nur Haffiqah Khalid, 4, selepas mereka sekeluarga dibenarkan keluar dari Hospital Putrajaya pada Sabtu. FotoBERNAMA

EMPAT daripada enam mangsa insiden belon meletup di Dataran Putrajaya pada Sabtu berkemungkinan dibenarkan pulang dari Hospital Putrajaya pada Ahad. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata mereka terdiri daripada tiga dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan, yang difahamkan hanya menanti kebenaran daripada pakar yang merawat mereka untuk tujuan itu. 

"Dua lagi mangsa masih berada di wad biasa dan masih memerlukan rawatan. Bagaimanapun, keadaan mereka adalah stabil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Karnival Koi Nak Sihat: Lain Weh!' di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis pada Ahad.

Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Sha'ari Ngadiman dan pelakon popular Fahrin Ahmad yang berkongsi pengetahuan tentang penyakit AIDS dan penjagaan kesihatan.

Pada Sabtu, media melaporkan 16 individu cedera selepas belon yang didakwa berisi gas helium meletup selepas perasmian Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya.

Kejadian yang turut melibatkan sembilan kanak-kanak dipercayai berlaku semasa pengunjung berebut memotong tali yang mengikat tiga gugusan belon termasuk ada yang dikatakan menggunakan pemetik api. 

Dr Dzulkefly juga memaklumkan Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikologi juga akan memberi kaunseling kepada pesakit yang masih berada di hospital untuk mengurangkan kesan pasca trauma. 

Pada perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata Hospital Bera yang telah terbengkalai sejak Januari 2015 dijangka boleh mula beroperasi pada suku tahun pertama, bergantung kepada aspek perjawatan. 

"Hospital itu setakat 11 Oktober lepas, status kemajuannya 90.2 peratus dan saya optimis kontrakor terlibat boleh menyiapkannya pada akhir tahun ini, yang masih berbaki dua bulan," katanya. 

Untuk rekod, projek pembinaan Hospital Bera bermula sejak Julai 2012 dengan jangkaan siap dalam tempoh tiga tahun, terbengkalai kerana kegagalan kontraktor walaupun telah diberikan lanjutan sehingga 690 hari. 

Kos pembinaan hospital dengan kemudahan 40 katil itu pada asalnya RM88 juta, namun kegagalan kontraktor yang disenaraihitamkan itu, menyebabkan kerajaan memerlukan kos tambahan RM33 juta. 

Mengulas mengenai program itu, Dr Dzulkefly berkata lebih 9,000 orang mengunjungi karnival yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu, yang antara lain melibatkan pemeriksaan kesihatan percuma. - BERNAMA 

Artikel Lain