suria

Pekerja sektor swasta diberhentikan kerja pada Januari layak tuntut faedah SIP

pekerja yang diberhentikan kerja layak mendapat bantuan kewangan sementara, carian pekerjaan, penempatan pekerjaan, program latihan dan sebagainya tertakluk pada kelayakan di bawah akta tersebut. Gambar hiasan.

PEKERJA sektor swasta yang diberhentikan kerja bermula Januari lepas layak untuk menuntut faedah melalui peruntukan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) bagi mendapatkan bantuan kewangan sementara dan bantuan pencarian kerja baharu serta faedah-faedah lain yang ditawarkan.

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata kementeriannya telah menguatkuasakan akta itu bagi memberi perlindungan insurans kepada pekerja yang diberhentikan supaya mereka dapat dilindungi dan mendapat faedah pemberhentian kerja.

"Melalui SIP, pekerja yang diberhentikan kerja layak mendapat bantuan kewangan sementara, carian pekerjaan, penempatan pekerjaan, program latihan dan sebagainya tertakluk pada kelayakan di bawah akta itu.

"Jumlah Elaun Mencari Pekerjaan yang dibayar adalah bergantung pada peratusan purata bulanan anggapan iaitu 80 peratus pada bulan pertama, 50 peratus pada bulan kedua, 40 peratus bagi bulan ketiga dan keempat manakala 30 peratus pada bulan kelima dan keenam," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, Khamis.

Kula Segaran berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah membantu hampir 90 peratus pekerja yang diberhentikan kerja untuk mendapatkan pekerjaan kembali, melibatkan 12,019 pekerja bagi tempoh Januari hingga September 2019.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan meneliti cadangan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) supaya kementerian itu dapat menyediakan khidmat peguam bagi membantu pekerja yang dibuang kerja secara tidak adil.

"Di swasta (peguam swasta) mereka ada buat sedemikian, namun buat sementara ini Majlis Peguam ada bagi inisiatif untuk membantu pekerja yang dibuang secara tidak adil dan ingin membawa kes mereka ke Mahkamah Perusahaan atau Mahkamah Buruh. Saya juga telah berbincang dengan Majlis untuk mereka meluaskan lagi perkara bagi membantu mereka yang tidak mampu mendapatkannya.

"Setakat ini kita tidak ada polisi untuk ini, ini cadangan yang baik (memberi bantuan khidmat guaman) dan boleh dibawa untuk perbincangan di kementerian seterusnya dihantar untuk mendapat kebenaran kabinet," katanya. -Bernama

Perkeso, Bantuan SIP, pekerja, dibuang, swasta

Artikel Lain