suria

“Mari tembak doa dari jauh” – Ustaz Azhar Idrus patah tangan dan hidung, dirawat di HSNZ

UAI dilaporkan patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh ketika berbasikal pada petang Isnin.

PENCERAMAH bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI dilaporkan patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh ketika berbasikal pada petang Isnin.

Difahamkan, UAI menyertai kayuhan santai ketika beriadah di Kuala Terengganu.

Penceramah itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mohon tanggalkan segera” - Doktor sedih, seminggu sekali pasti jumpa bayi Melayu diikat benang hitam 

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penceramah itu dimasukkan ke HSNZ kerana terlibat dengan kemalangan.

“Saya difahamkan beliau terjatuh dari basikal. Beliau cedera ringan di muka, tangan dan kini dirawat di HSNZ,” katanya.

Berikutan kemalangan itu, UAI menangguhkan semua ceramah agama buat sementara waktu sehingga keadaan beliau pulih sepenuhnya.

Penangguhan itu diumumkan dalam Facebook rasmi beliau.

“Berikutan sedikit kemalangan yang menimpa Al Fadhil Ustaz Azhar Idrus ketika melakukan kayuhan basikal petang tadi adalah dimaklumkan semua kuliah ditangguhkan sementara waktu sehingga diberitahu kelak.

“Beliau mengalami sedikit kecederaan dan memerlukan rehat untuk sementara waktu," katanya.

Sementara itu, berita UAI terjatuh basikal itu kini tular di laman sosial dengan mesej memohon netizen mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan penceramah tersohor tersebut.

“Salam semua, mohon doakan kesembuhan dan kesihatan untuk murobbi ummah, Ustaz Azhar Idrus yg kini berada di hospital Terengganu kerana accident ketika mengayuh basikal petang tadi.

“Mohon share kan pada ikhwah lain juga. Mohon juga jangan ganggu beliau buat masa ni. Marilah kita tembak doa dari jauh bersama-sama,”demikian menurut mesej yang disertai dengan tanda pagar #Pray4UAI

Artikel Lain