suria

“Dia ambil tahi kucing sumbat dalam mulut saya” - Selepas kes kebakaran 2 tahun lalu, pelajar pusat tahfiz yang sama dakwa dibuli

Akibat kecederaan di badan dan paha kiri, dia ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Kebakaran HKL selama 10 hari.

JIKA sebelum ini Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, Kuala Lumpur menjadi perhatian kerana kes kebakaran pada 2017 yang meragut 23 nyawa pelajar, kali ini ia terpalit dengan satu lagi isu berkaitan buli.

Kes kali ini melibatkan pelajar Muhammad Al-Yusof Muhaimin Mohamad Amir, 13, yang mendakwa dirinya dibuli sehingga dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama 10 hari.

Menerusi kejadian pada 16 Oktober lalu, dia dikejarkan ke HKL akibat melecur disimbah air panas.

ARTIKEL BERKAITAN: Bicara Kes Bunuh 23 Penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah 30 Mei

Akibat kecederaan di badan dan paha kiri, dia ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Kebakaran HKL.

Dakwanya lagi, dia disimbah dengan air panas sekitar pukul 4 pagi sewaktu sedang nyenyak tidur.

“Dulu masa bulan tiga, kami pernah bergaduh. Dia suka kacau saya, jadi saya mampu ejek dia sebab nak lawan balik tak boleh, dia kuat.

“Petang Isnin lepas Asar, dia panggil saya pergi tingkat bawah asrama. Lepas itu dia tumbuk muka saya. Kat tingkat bawah ni memang selalu ada kucing berak. Dia ambil tahi kucing, lepas itu sumbat dalam mulut saya.

“Pagi Rabu waktu tengah tidur, tiba-tiba ada orang tumbuk. Lepas itu, saya terkejut sebab kena simbah air panas,” katanya kepada Sinar Harian.

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, Kuala Lumpur terlibat dengan kejadian kebakaran pada 2017.

Dalam pada itu, ibu mangsa, Siti Satariah Ahmad, 36, berkata, anak kedua daripada empat beradik itu melecur 13 peratus dan kini perlu menjalani fisioterapi apabila tulang sendi bahu terjejas akibat insiden berkenaan.

“Pada Mac lalu, Yusof pernah lari dari pusat tahfiz pada jam 1 pagi kerana tidak tahan dikacau dan ditumbuk.

“Malam Isnin (dua hari sebelum insiden simbah air panas) saya ke tahfiz untuk berjumpa sekejap dengan Yusof, saya dapati ada kesan lebam tepi mata kiri. Dia kata kena pukul.

“Saya maklumkan kepada pengetua dan pengetua beritahu dia akan selesaikan perkara tersebut.

"Saya hubungi ibu bapa pelaku melalui WhatsApp dan sedia berjumpa pada malam esok tapi mereka tidak datang pun,” katanya.

Siti Satariah berkata, difahamkan pelaku dikenakan hukuman rotan di hadapan pelajar lain.

“Selama 10 hari Yusof di unit rawatan rapi (ICU), tiada seorang ustaz dari pusat tahfiz itu datang tengok.

"Bil hospital lebih RM400 kami tanggung sendiri,” dakwanya.

Siti Satariah berkata, keluarga pelaku menawarkan kos ganti rugi sebanyak RM3,000 namun dia dan suami mahu menuntut keadilan untuk Yusof melalui perbicaraan di mahkamah.

Artikel Lain