suria

Gojek, Dego Ride mula beroperasi di Malaysia pada Januari depan

Kerajaan melaksanakan projek percubaan kerana ia mengambil masa untuk undang-undang khusus diusul, dibentang serta diluluskan di parlimen. FOTO:Reuters.

SYARIKAT hailing permotoran seperti Gojek Indonesia dan juga produk tempatan, Dego Ride akan dibenarkan beroperasi di bawah projek perintis pada Januari depan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Syarikat berkenaan akan dibenarkan menawarkan perkhidmatan dalam enam bulan menerusi tempoh ujian Proof of Concept (POC) untuk menilai sistem sementara menunggu undang-undang diluluskan.

"Antara syarat dalam POC, ia dihadkan di Lembah Klang.

"Syarat lain termasuklah penunggang berusia 18 tahun ke atas, boleh membawa seorang pembonceng sahaja pada satu masa yang juga berusia tak kurang 18 tahun," ujarnya.

Dia berkata demikian sewaktu menjawab soalan yang dikemukakan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Malah, motosikal yang digunakan juga tidak boleh melebihi usia lima tahun dan penumpang juga dijamin dengan insuran.

"POC juga akan membolehkan kerajaan dan syarikat terlibat mengumpul data, menilai kebolehan dan tahap permintaan serta servis-servis lain yang berkaitan," tambahnya.

Untuk memastikan keselamatan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis akan terlibat dalam pelaksanaan undang-undang sebagaimana Akta Pengangkutan Jalan.

Tambahnya, kerajaan melaksanakan projek percubaan kerana ia mengambil masa untuk undang-undang khusus diusul, dibentang serta diluluskan di parlimen.

Pada 1 November lalu, kerajaan mengumumkan akan membenarkan servis hailing bermotor bagi meningkatkan perhubungan dalam sistem pengangkutan awam. - The Star.

Anthony Loke, Gojek, Dego Ride

Artikel Lain