SYARIKAT e-hailing MyCar telah mengambil tindakan tegas terhadap seorang pemandu yang didakwa bersikap biadab kepada penumpangnya sebagaimana yang tular baru-baru ini. Ketua Bahagian Operasi MyCar, Ezuan Hadi dalam kenyataannya kepada mStar berkata, pemandu wanita terbabit sudah digantung, selepas pihaknya mendapatkan keterangan daripada kedua-dua pihak. “Kami sudah mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemandu berkenaan, dia sudah digantung dan perlu melalui prosedur re-education atau pembelajaran semula. Tempoh penggantungan itu terpulang kepada penilaian panel, yang akan mengambil kira beberapa perkara seperti track record, kesalahan kali ke berapa, dan sebagainya,” katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Buat pelanggan basah kuyup, ‘kedekut’ aircond, pemandu e-hailing biadab halau penumpang - “Dia libas benda panjang, tunjuk isyarat lucah” ARTIKEL BERKAITAN: “Kerja-kerja yang tak bermaruah saya panggil” - Dianggap hina pekerja e-hailing, universiti minta pensyarah mohon maaf secara terbuka Tambah Ezuan, keputusan tersebut diambil selepas pihaknya meneliti situasi kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu itu. “Daripada keterangan kedua-dua pihak, selepas meneliti dari bottom line, tindakan pemandu yang meninggalkan penumpang itu tidak wajar. Itu yang kita buat keputusan dengan apa cara sekalipun, kita perlu menggantung pemandu tersebut,” ujarnya. Dalam pada itu, Ezuan menjelaskan pemandu wanita berkenaan bukan staf tetap MyCar, sebaliknya hanya menumpang platform e-hailing tersebut. “Pemandu itu bukanlah staf, tetapi hanya pemandu yang secara sambilan menggunakan platform kami. Kebetulan pula pada ketika insiden itu terjadi, dia sedang menggunakan platform MyCar,” jelasnya. Menurut Ezuan lagi, kes tersebut sudah dianggap selesai selepas pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap pemandu berkenaan, selain mengemukakan permohonan maaf kepada penumpang bagi pihak pemandu tersebut. Tweet terbaharu daripada penumpang berkenaan berhubung insiden yang tular itu. “Pihak penumpang sudah menerima permohonan maaf dari kami. Sungguhpun begitu, kami bercadang untuk mempertemukan kedua-dua pihak bagi menyelesaikan salah faham dan isu berbangkit yang tercetus sebelum ini. “Apa yang mahu ditekankan, ini adalah isu sikap. Tidak wajar mengaitkan MyCar secara keseluruhannya. Tidak boleh label MyCar sesuka hati hanya kerana sikap seorang pemandu. Apatah lagi kami sudah mengambil tindakan terhadapnya,” ujarnya lagi. Portal mStar pada Isnin menyiarkan laporan mengenai aduan seorang penumpang MyCar yang tidak berpuas hati dengan seorang pemandu syarikat e-hailing tersebut yang didakwanya bersikap biadab terhadap dirinya dan dua lagi rakan. Penumpang tersebut mendakwa, pemandu wanita berkenaan tidak sopan apabila enggan mengambil mereka di lokasi yang dinyatakan, selain melayani mereka dengan kasar dan kemudian menurunkan mereka di bahu jalan. Menurut penumpang itu, pemandu wanita berkenaan juga menggunakan ‘satu barang’ untuk menakutkan mereka, sebelum berlalu dari lokasi ekoran menyedari insiden itu menjadi perhatian orang awam. Isu itu menjadi tular selepas penumpang berkenaan berkongsi di laman sosial.