suria

Kematian 2 militan Malaysia beri kesan kegiatan rekrut anggota IS - Pakar

Akel (kiri) terkorban dalam serangan bom di kediamannya di Syria pada Mac lalu.

KEMATIAN pemimpin militan warga Malaysia, Akel Zainal dan Mohd Rafi Udin akan memperlahankan pengambilan anggota  pengganas Negara Islam (IS), bukan menghentikan kegiatan itu sepenuhnya.

Pensyarah Sains Politik, Dr Ahmad El-Muhammady yang juga pakar kegiatan pengganas berkata, rekrut dalam kalangan rakyat negara ini untuk menyertai kumpulan itu akan berterusan tanpa dikesan.

"Kematian mereka tentunya memberi impak dalam kalangan anggota IS rakyat Malaysia. Walaupun ia akan memperlahankan langkah pengambilan anggota baharu, tetapi ia tidak akan menghentikan usaha itu," kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jumaat.

Malahan, katanya, kematian dua rakyat Malaysia selaku pemimpin IS di Syria itu sekaligus bermakna tiada lagi figura warganegara ini di negara bergolak itu.

"Bagaimanapun, ada sesetengah pihak yang masih lagi berminat dengan kegiatan pengganas ini," katanya.

Beliau juga percaya, ada kemungkinan kegiatan pengganas itu akan bergerak dalam kumpulan kecil.

"Langkah itu akan memudahkan operasi mereka menyebarkan ideologi IS," katanya.

Menerusi laporan portal BenarNews, Akel atau Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin bersama Mohd Rafi maut dalam serangan udara Rusia di Syria.

Mohd Rafi yang juga dikenali sebagai Abu Ain dan Abu Awn al-Malisi dan Akel masing-masing terbunuh pada Januari dan Mac lalu, demikian menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ayob berkongsi perkara itu dengan memetik maklumat antarabangsa daripada rakan sejawatannya serta sumber rakyat Malaysia di Syria.

Menurut Ayob, Akel terbunuh bersama isteri dan anak-anaknya selain seorang lagi pejuang IS warga Belgium.

"Maklumat yang diterima berkata bahawa rumah Akel di Baghouz terkena letupan bom semasa serangan udara pada Mac lalu.

"Isteri dan dua anaknya yang berumur dua dan tiga tahun juga terbunuh," kata Ayob.

Akel dilaporkan mula menyertai IS sejak tercetusnya konflik di Syria dan malah turut ke sana untuk menyertai perang.

Pada Oktober 2014, Akel didakwa giat merekrut wanita khususnya pelajar institusi pengajian tinggi tempatan untuk ke Syria.

Salah seorang daripada mereka ialah bekas pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Syamimi Faiqah yang dipercayai lari ke negara itu untuk berkahwin dengan Akel selepas berkenalan melalui Facebook.

IS, Akel, Syria

Artikel Lain