suria

Bantuan LZS suntik semangat ibu muda berkerusi roda untuk kembangkan perniagaan, jana pendapatan keluarga

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop sedang bersalaman dengan pelajar yang mendapat bantuan persiapan persekolah sambil diperhatikan oleh Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dr Ahmad Shahir Makhtar (tiga dari kiri).

“ALHAMDULILLAH, bantuan ini membangkitkan semangat saya supaya lebih kuat dan ia dapat meringankan beban kami sekeluarga,” kata seorang ibu muda, Noor Patihah Mohd yang merupakan penerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Selain menerima bantuan bulanan dan sambutan perayaan, Noor Patihah juga melahirkan kesyukuran kerana ketiga-tiga anak perempuannya turut menerima bantuan persiapan persekolahan juga daripada LZS, sekaligus meringankan beban keluarganya, apatah lagi dirinya kini hanya berkerusi roda.

Menurutnya, dia mengalami sakit urat saraf di mana salah satu sarafnya dijangkiti kuman sewaktu melahirkan anak keempat pada 2015.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengerusi Maiwp sebak kongsi kisah “air sirap ganti susu anak”, 25 pekerja Utusan terima sumbangan asnaf miskin segera

ARTIKEL BERKAITAN: Mengadu ibu tak dapat zakat, rupa-rupanya dibantu lebih RM20,000, siasat dulu sebelum sebar! Kata warganet - “Sampai makan nasi lemak tak laku, biasanya dah basi...” 

“Sebelum ini saya terlantar, langsung tak boleh buat apa-apa, angkat tangan dan kaki sendiri pun tak boleh. Masa itu saya ibu tunggal, anak sulung ketika itu berusia lapan tahun yang jaga saya.

“Saya kemudian masuk Rumah Orang-orang Tua Pusat Zakat di Klang untuk menjalani rawatan dan semasa menginap di situ saya memohon bantuan tambahan selain persekolahan dan raya yang telah diperoleh.

“Alhamdulilah beberapa bulan kemudian diluluskan dan saya dapat bantuan bulanan dan makanan, malah segala kos semasa menerima rawatan di Hospital Shah Alam juga ditanggung LZS,” ujarnya yang ditemui di Program Perdana Bantuan Pendidikan Negeri Selangor pada Sabtu.

Menurut wanita berusia 29 tahun ini lagi, keadaan kesihatannya menunjukkan perkembangan yang baik dan dia mampu menggunakan kerusi roda sejak dua tahun lalu.

Dengan kudratnya yang masih lagi di tahap minima, Patihah berkata dia berusaha untuk menjana lebih pendapatan dengan menerima tempahan roti jala secara kecil-kecilan di rumahnya di Sungai Ramal Luar, Kajang.

Noor Patihah bersama suami, Muhammad Hanafi Shahjohan serta tiga anak-anak mereka yang mendapat bantuan persiapan persekolahan dari LZS.  

“Walaupun pendapatan tak banyak tapi cukuplah untuk menampung perbelanjaan. Saya terfikir untuk kembangkan perniagaan ini, dan ada bertanya dengan pihak zakat berkaitan modal untuk memulakan perniagaan dan dimaklumkan permohonan mengenainya akan dibuka Januari depan.

“Jika diizinkan Allah, saya ingin kembangkan perniagaan roti jala dan nasi kukus,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga dengan seorang pekerja bahagian pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA), Universiti Putra Malaysia (UPM), Mei lalu.

Ketiga-tiga anak perempuan Noor Patihah merupakan antara penerima bantuan zakat persiapan persekolahan anak-anak asnaf dan fakir miskin yang disampaikan oleh LZS dalam program tersebut pada Sabtu.

LZS memperuntukkan mencecah hampir RM33 juta bantuan zakat kepada 30,718 ketua keluarga asnaf fakir dan miskin bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2020.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, persiapan persekolahan yang diagihkan setiap tahun ini bertujuan meringankan beban asnaf fakir dan miskin terutamanya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak mereka.

“Kadar bantuan kelayakan bagi setiap anak atau tanggungan ketua keluarga adalah seperti berikut, iaitu sekolah rendah kebangsan mendapat kadar bantuan sebanyak RM170 seorang, sekolah rendah agama menerima RM150 seorang, sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah agama memperoleh RM320 seorang, manakala sekolah menengah kebangsaan pula RM200 seorang, serta sekolah menengah agama mendapat kadar RM150 seorang,” ujarnya.

Pengagihan tersebut melibatkan 65,956 anak-anak asnaf dan fakir miskin bermula dari peringkat pra sekolah hingga ke sekolah menengah.

Dalam program tersebut juga, lima syarikat korporat yang juga merupakan syarikat pengeluar zakat menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ di bawah program bantuan pendidikan asnaf fakir dan miskin berjumlah kira-kira RM203,653.   

Artikel Lain