suria

Miko... sang peneman keluarga Kak Mah

Halimah (kiri) menjadikan Miko sebagai haiwan peliharaannya sekeluarga sejak lima tahun lalu.

TIDAK ramai yang memilih haiwan berdarah sejuk sebagai binatang peliharaan kerana majoriti geli dan takut dengan replitia itu.

Bagaimanapun warga emas dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, Halimah Abdullah, menjadikan ular sawa sebagai haiwan peliharaannya sejak lima tahun lalu.

Menurut wanita berusia 64 tahun ini, hobi memelihara ular yang diberi nama Miko bermula ketika reptilia berkenaan baru menetas.

"Anak saya beli Miko di Kuala Lumpur pada harga RM150. Ketika itu saiznya sebesar jari kelingking dan hanya memakan serangga seperti lipas.

"Kini beratnya mencecah 60 kilogram (kg) dan lima meter panjang. Saya menempatkannya di dalam sangkar yang dbina khas di luar rumah.

"Kini Miko makan empat ekor ayam setiap dua minggu sekali. Alhamdulillah, lima tahun memelihara Miko, haiwan ini tidak pernah agresif," katanya.

Halimah yang mempunyai lesen dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga memberitahu Miko mempunyai cip mikro di bahagian badannya dan jika hilang, dia dan keluarga boleh mengesan lokasi Miko.

"Dulu, hanya saya seorang sahaja boleh mandikan Miko namun kini saya memerlukan bantuan anak-anak kerana beratnya melebihi berat badan saya.

"Bagaimanapun, kami sendiri tidak tahu jantina Miko. Saya tidak bercadang menambah peliharaan, cukup hanya Miko sahaja menjadi peneman dan mainan kami sekeluarga," katanya.-SinarHarian

Miko, Kesedar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain