suria

Anwar enggan sertai Kabinet sekiranya berlaku rombakan

Anwar berpendirian untuk tidak menerima sebarang jawatan sekiranya berlaku rombakan barisan Kabinet oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto: Bernama

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendirian untuk tidak menerima sebarang jawatan sekiranya berlaku rombakan barisan Kabinet oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar berkata beliau juga tidak pernah bercadang untuk menawarkan diri menyertai Kabinet sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8, menggantikan Dr Mahathir.

“Saya tidak bercadang untuk menyertai Kabinet (Dr Mahathir) ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Reformis di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di Shah Alam pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Terima kasih Tun M, semua - Anwar 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendiriannya sama ada akan menyertai barisan Kabinet baharu Dr Mahathir sekiranya berlaku rombakan Kabinet.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis tersebut, Anwar turut mengingatkan kepimpinan dan ahli parti PKR supaya berhenti membangkitkan isu peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri antara beliau dan Dr Mahathir.

“Bagi ruang kepada Tun Dr Mahathir supaya  proses transisi (peralihan kuasa) berlaku dengan cara yang baik.

“Kalau keadaan tenang dan aman, akan  mudahkan Tun (Mahathir) menjalankan tugas...saya tidak gusar dan saya tidak runsing walaupun ada (pihak) yang cuba gugat persefahaman (peralihan kuasa) ini,”katanya.

Menurut Anwar hanya mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang akan menentukan siapa yang layak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 selain memutuskan tarikh sebenar peralihan kuasa itu berlaku. - BERNAMA

Anwar, Kabinet, Tun M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain