suria

Belum reda kes Jalur Gemilang bintang 5 bucu, kali ini bendera Perak dicetak terbalik pada jersi

Bendera Perak yang dicetak terbalik pada jersey pemain.

KECOH pada Isnin mengenai insiden Jalur Gemilang dengan bintang lima bucu, kali ini tular pula mengenai bendera Perak yang dicetak terbalik pada jersi seorang pemain yang mewakili negeri itu.

Susulan itu, Persatuan Bola Keranjang Perak memohon maaf atas kejadian berkenaan yang mana bendera itu dicetak pada jersi yang dipakai salah seoarang pemain mereka.

Kata Pengerusi Jawatankuasa Sukan Negeri, Howard Lee, pihaknya sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada persatuan itu bagi memohon penjelasan selanjutnya sebelum mendapati ia berlaku kerana kesalahan pihak pembekal.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh Jalur Gemilang bintang 5 bucu, Maba mohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya

"Saya faham kesalahan itu tidak disengajakan dan hanya satu jersi yang terlibat.

"Jurulatih pasukan berjanji ia tak akan berulang lagi," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, foto jersi dengan bendera Perak dicetak terbalik menjadi tular di media sosial.

Sebelum ini, negara kita digemparkan dengan insiden Jalur Gemilang yang memiliki bintang lima bucu terpampang ketika majlis perasmian kejohanan bola keranjang, Piala Lum Mun Chak Maba/Milo kali ke-28 pada Isnin lalu.

Imej bendera tersebut disiarkan menerusi tayangan klip video pada skrin gergasi ketika nyanyian lagu NegaraKu di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba).

Jalur Gemilang sepatutnya mempunyai bintang 14 bucu yang melambangkan perpaduan 13 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Susulan insiden itu, Maba tampil membuat permohonan maaf di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu. - The Star.

 

bendera Perak, Jalur Gemilang

Artikel Lain