suria

Harga RON95 naik 1 hingga 2 sen seminggu tahun depan

Harga RON95 akan dinaikkan sebanyak satu atau dua sen seminggu sehingga mencapai harga pasaran apabila Program Subdisi Petrol (PSP) bermula tahun depan.

HARGA petrol RON95 akan dinaikkan sebanyak satu atau dua sen seminggu apabila Program Subsidi Petrol (PSP) bermula tahun depan sehingga ia mencapai harga pasaran, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

"Apabila kita mula skim subsidi petrol bersasar, harga petrol akan diapungkan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup, di samping memastikan harga barangan tidak meningkat secara mendadak.

"Harga petrol akan diapungkan secara berperingkat, mungkin dua sen seminggu atau satu sen seminggu, sehingga harga RON95 mencapai harga pasaran," kata Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen dalam jawapannya kepada Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan).

Rubiah bertanyakan mengenai rancangan kerajaan untuk menangani kenaikan harga barang sebaik program subsidi bersasar bermula Januari tahun depan.

Chieng Jen berkata, skim subsidi pukal akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak dengan harga RON95 kekal pada RM2.08 seliter.

Beliau turut memberitahu bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Harga Kawalan Barangan 1946 terhadap peniaga tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan untuk meraih lebih keuntungan.

Program Subsidi Petrol yang membabitkan peruntukan RM2.2 bilion dijangka memanfaatkan lebih lapan juta pemilik kenderaan. - The Star

petrol, PSP, RON95, KPDNHEP

Artikel Lain