suria

Tiada warga kota terpinggir, itulah fokus utama PSKL2040

Nor Hisham mempunyai impian besar untuk pembangunan Kuala Lumpur.

KUALA Lumpur merupakan kawasan metropolis yang berkembang pesat. Ia berkeluasan 243 kilometer persegi dan mempunyai kira-kira 1.9 juta penduduk yang menetap di sini.

Pada waktu pagi, jumlah populasi penduduk meningkat kepada 4 juta apabila mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur masuk ke ibu kota untuk bekerja.

Merancang masa depan sebuah bandar raya dengan saiz penduduk yang ramai bukanlah tugas mudah.

ARTIKEL BERKAITAN: Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

ARTIKEL BERKAITAN: Pelan pembangunan KL... inilah harapan warga kota

Dan individu bertanggungjawab merangka pembangunan itu mempunyai impian yang ingin dipenuhinya untuk bandaraya tersebut.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, dikenali sebagai ketua yang berwawasan tinggi mahu menjadikan ibu negara itu inklusif untuk semua.

Dengan tagline "No One Left Behind," beliau mahu Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) mengambil kira semua rakyat termasuk golongan minoriti, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Lebih banyak perumahan mampu dimiliki, kemudahan pengangkutan awam yang efisien dan pengurusan penjaja serta sistem perparitan yang lebih baik antara beberapa objektif beliau.

"Untuk tempoh 20 tahun akan datang, kami akan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup penduduk bandar.

"Kami mahukan bandar pintar yang rendah karbon, dengan masyarakat cerdik dilahirkan.

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertanggungjawab menyediakan dan mengekalkan kemudahan awam untuk memastikan keselesaan penduduk," katanya.

Nor Hisham berkata nisbah semasa penggunaan pengangkutan awam kepada kenderaan persendirian masih rendah berbanding sasaran pada tahun 2020, yang ditetapkan pada kadar 60:40.

"Nisbah semasa adalah 20:80, yang bermaksud lebih banyak perlu dilakukan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Kemudahan pengangkutan awam antara perkara yang ditekankan dalam PSKL2040.

"Kami juga akan meneliti pengurangan tempat letak kereta di bandar sebagai cara untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam," katanya.

Beberapa usaha telah dilakukan untuk mencapai matlamat itu.

Projek parkir bertingkat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia dan Kota Kota (PPR) di Bandar Tun Razak dibina berhampiran stesen LRT untuk menggalakkan orang ramai menggunakan kereta api.

"Kami juga melihat idea penutupan jalan-jalan tertentu di ibu kota pada hari-hari tertentu setiap bulan,” katanya.

Perkhidmatan bas percuma GOKL, yang mengambil penumpang di kawasan perumahan berkepadatan tinggi, juga diperluas untuk menampung tujuh laluan secara keseluruhannya ketika ini.

Mengulas mengenai keperluan pengurusan penjaja yang lebih baik, Nor Hisham percaya fokus mendidik golongan ini perlu diberi keutamaan.

"Mengeluarkan denda kepada penjaja yang tidak mematuhi peraturan hanya sebahagian daripada penyelesaiannya.

Nor Hisham melakukan tinjauan di lorong belakang Pasar Karat di Jalan Pasar Pudu.

"Kita perlu mendidik mereka untuk memastikan kebersihan dan pembuangan sampah sarap secara bertanggungjawab," katanya.

Beliau juga berharap dapat menyediakan tempat tertutup untuk golongan penjaja menjalankan perniagaan mereka pada masa hadapan.

“Dalam proses kita menjadi negara maju, sudah tiba masanya penjaja tidak lagi menyediakan dan menjual makanan di tepi jalan," katanya.

Nor Hisham berkata perhatian khusus juga harus diberikan kepada warga emas dan OKU dalam merangka pembangunan di ibu kota itu.

"Di Brickfields, laluan ‘tactile’ dipasang di kaki lima untuk memudahkan perjalanan orang cacat penglihatan.”

Mengulas mengenai purata jangka hayat rakyat Malaysia, beliau berkata PSKL2040 turut akan mengambil pendekatan untuk meningkatkan kualiti hidup warga emas.

Kejadian banjir kilat di ibu kota juga diberi penekanan dan beliau menegaskan PSKL2040 menjadi alat penting untuk menangani isu tersebut.

Nor Hisham meneliti laluan 'tactile' di Brickfields.

"Pelan ini akan memperinci nisbah plot dan tujuan bagi lokasi tertentu di bandaraya ini.

"Ia akan membantu kami merancang dan memastikan langkah-langkah mencukupi diambil untuk mengurangkan kejadian banjir pada masa depan," katanya.

Tambahnya lagi, DBKL turut menghantar pasukan respons segera ke kawasan terjejas banjir berikutan laporan daripada orang ramai.

"Apabila kami menerima laporan mengenai air bertakung di Sekolah Tinggi Kuen Cheng di Jalan Syed Putra baru-baru ini, DBKL pergi ke sana untuk menangani masalah itu."

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL Datuk Mahadi Che Ngah berkata akan ada lebih banyak usaha dilakukan untuk memperindah Kuala Lumpur.

"Lebih banyak bunga dan pokok hijau akan ditanam di banyak lokasi di dalam bandar, sementara masih mengekalkan identiti negara kita.”

"Kami berharap dapat menjadikan Kuala Lumpur produk pelancongan yang lebih baik dan menarik lebih ramai pelancong, terutamanya sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, "katanya.

Pelbagai usaha dilakukan untuk memperindah Kuala Lumpur bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke negara ini.

Nor Hisham turut bersetuju, dengan memaklumkan lebih banyak lampu akan dipasang di lokasi strategik untuk menjadikan bandar itu kelihatan meriah pada waktu malam.

DBKL menjemput semua warga kota untuk memberikan maklum balas bagi draf PSKL2040 menerusi penglibatan orang awam, perbincangan kumpulan fokus dan sesi town hall.

Semua pandangan juga boleh dihantar menerusi e-emel ke [email protected] and laman web Pelan Pembangunan Kuala Lumpur: dbkl.gov.my/klmycity2040 atau halaman Facebook ‘Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040’.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan