PILU, begitulah yang dapat menggambarkan nasib dua wanita dipercayai adik beradik apabila mereka meninggal dunia dalam kebakaran pada awal pagi Khamis. Kejadian di sebuah kediaman di Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak itu berlaku sekitar pukul 2.15 pagi. Mangsa dikenali sebagai Aisyah Din, 80, dan Ida, 56, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) ditemui berhampiran pintu utama oleh anggota bomba. "Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah rumah sedang terbakar 80 peratus dan hasil maklumat disyaki ada mangsa di dalamnya," katanya. Menurutnya, operasi memadam dan menyelamat kemudiannya menemui dua wanita berhampiran pintu utama. "Kedua-duanya telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Ketika kejadian hanya mereka tinggal di rumah berkenaan," katanya. Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 1.52 pagi. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada pukul 6.27 pagi. - Sinar Harian.