suria

Kumpulan Semesta diiktiraf industri perlombongan Asean, pemenang anugerah berprestij di Bangkok

Mohamed Fariz Ghazali menerima anugerah kecemerlangan Amalan Terbaik Dalam Pembangunan Mineral Mampan (Pengedaran Mineral Bukan Logam) pada Anugerah Mineral Asean ke-2 (AMA) di Bangkok, Thailand.

KUMPULAN Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengharumkan nama negara apabila diumum mengungguli kategori Amalan Terbaik Dalam Pembangunan Mineral Mampan (Pengedaran Mineral Bukan Logam) pada Anugerah Mineral Asean ke-2 (AMA) di Bangkok, Thailand.

Mewakili Malaysia dalam kategori itu, KSSB berjaya mengetepikan beberapa syarikat perlombongan lain dari seluruh rantau Asean.

Semua finalis dipilih pada Ogos lalu dan pengadilan dibuat semasa pembentangan akhir di hadapan Ahli Lembaga Pengadil (BOJ) sempena Mesyuarat Pegawai Kanan Asean Bagi Bahan Mineral (ASSOM) pada 11 Disember lalu yang turut berlangsung di Bangkok.

Sijil anugerah yang diterima KSSB.

Ketua Pegawai Kewangan KSSB Mohamed Fariz Ghazali menerima anugerah kecemerlangan itu pada majlis yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Disember di Hotel Pullman Kong Power.

Menurut Mohamed Fariz, anugerah berprestij itu sekali gus membuktikan KSSB diiktiraf penggiat industri perlombongan di Asean kerana menerapkan amalan terbaik di rantau ini.

"Kami sangat berbesar hati dan bersyukur kerana dapat membawa pulang anugerah berprestij ini ke Malaysia.

“Sesungguhnya piawaian dan komitmen terhadap kecemerlangan dan integriti adalah kunci kejayaan kami," katanya.

KSSB memulakan operasi sejak 2008 dan dipertanggungjawabkan dalam menguruskan pengekstrakan, pengeluaran dan pengedaran jualan pasir, bahan batuan dan sumber mineral dengan objektif untuk mempromosikan operasi perlombongan pasir yang mampan di Selangor, iaitu negeri pengeluar produk pasir dan bahan batuan yang terbesar di Malaysia.

Pemenang-pemenang bergambar bersama pada Majlis Anugerah Mineral Asean yang berlangsung di Bangkok minggu lalu.

Menerusi perancangan dan strategi KSSB yang kini telah diterima serta diiktiraf  industri perlombongan dan pengedaran pasir, batu mineral dan sumber mineral, ia kini akan mengukir satu landskap baharu di mata komuniti dan kerajaan, selain berdiri teguh bersama visi dan misi syarikat serta nilai teras asasnya ke arah perlombongan yang mampan.

Sementara itu, sebuah lagi syarikat  Malaysia iaitu Terengganu Silica Consortium turut memenangi tempat pertama di dalam kategori Amalan Terbaik Dalam Pembangunan Mineral Mampan (Pemprosesan Mineral Bukan Logam).

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan