suria

Perhatian, lagi 62 plaza tol laksana RFID mulai 1 Januari

Pelaksanaan kutipan tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) akan memperluaskan pelaksanaan kutipan tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di 62 plaza tol di 24 lebuh raya sistem tol terbuka bagi kenderaan kelas satu sebagai antara pilihan mod pembayaran mulai 1 Januari depan.

Antara lebuh raya yang menawarkan RFID adalah Lebuhraya Utara Selatan (Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar; Kempas; Jitra), Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Lingkaran Kajang dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth.

KKR dalam kenyataan pada Isnin berkata, pelaksanaan itu merupakan langkah awal ke arah Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti (Multi Lane Free Flow (MLFF) di lebuh raya dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan bayaran tol pada masa akan datang.

"Pelaksanaan ujian rintis RFID telah diadakan di plaza tol terpilih mulai 2018 dan mendapat respons positif daripada pengguna lebuh raya. Sehingga kini, jumlah pengguna RFID telah mencecah lebih 830,000 pengguna," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan RFID dijangka dapat melancarkan aliran trafik di lorong tol memandangkan pengguna tidak perlu berhenti untuk menyentuh kad di reader selain tiada kos penyelenggaraan kerana tidak memerlukan bateri.

Sistem RFID menggunakan sticker (pelekat) yang dihubungkan dengan Touch 'n Go e-wallet memudahkan orang ramai membuat tambah nilai secara dalam talian tanpa perlu ke pusat khidmat pelanggan atau lokasi tambah nilai, kata kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai RFID, orang ramai boleh melayari https://rfid.touchngo.com.my/. - Bernama

RFID, tol

Artikel Sebelum

Artikel Lain