suria

Kucing mati angkara anjing liar, MPK sangkal dakwaan bunuh kucing terbiar

Seorang individu memuat naik gambar kucing mati berhampiran Medan Selera Jom Makan di Kemaman dan mendakwa ia dilakukan pihak MPK. Foto: FB

MAJLIS Perbandaran Kemaman (MPK) menyangkal dakwaan yang tular di media sosial yang mengatakan pihaknya membunuh kucing jalanan di Medan Selera Jom Makan bagi operasi pembersihan bandar itu.

Menurut Yang Dipertua MPK, Jusman Ibrahim, kucing itu tidak dibunuh sebaliknya dipindahkan ke lokasi lain dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kemaman Stray Cats Community untuk memberi makan kepada haiwan itu.

“Semalam kami dikejutkan dengan laporan yang telah dikongsi di laman sosial Facebook mengatakan kononnya MPK telah membunuh kucing gelandangan dan telah membuangnya di suatu kawasan.

“Kita telah memeriksa dakwaan itu dan mendapati ia tidak benar.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak jadi ganas macam negara luar?” - Ramai marah kucing dibakar sesuka hati

“Kucing-kucing yang mati telah dibunuh oleh anjing-anjing liar yang muncul di kawasan itu tanpa pengetahuan MPK,” katanya dipetik Sinar Harian.

Menurut Jusman, MPK tidak mempunyai niat untuk membunuh kucing-kucing dan dakwaan itu adalah satu tohmahan terhadap badan yang menjaga kepentingan awam.

Sehubungan itu, katanya pihaknya telah membuat laporan polis pagi Selasa di Balai Polis Kemaman berhubung dakwaan itu.

Sementara itu, Pengasas Kemaman Stray Cats Community, Dr Zulkifli Awang dalam satu kenyataan berkata, dakwaan bahawa kucing-kucing yang dipindahkan dari medan selera ke Kemaman Waterfront telah dibunuh adalah tidak benar.

“Kami telah menghubungi kakitangan MPK untuk bertanya lokasi sebenar kucing-kucing medan Selera Jom Makan dipindahkan.

“Mereka memberikan kerjasama baik dengan menunjukkan lokasi kucing itu.

“Ada yang dipindahkan di kawasan yang selamat di kawasan MPK sendiri dan diberi makan oleh pekerja MPK dan ada yang dipindahkan di kawasan Kemaman Waterfront.

“Beberapa ekor kucing didapati telah mati di Kawasan Waterfront mungkin akibat kesejukan atau dibaham anjing atau babi,”katanya.

Kelmarin tular di media sosial apabila seorang pengguna memuat naik gambar kucing mati di Facebook dan mendakwa ia telah dibunuh oleh pihak MPK.

Menerusi perkongsian tersebut, pengguna itu secara sinis ‘memuji’ MPK kerana menjalankan tugas dengan amanah dan melakukan kerja yang ‘murni’ apabila membunuh kucing terbiar di kawasan medan selera tersebut.

“Saya doakan, sungguh-sungguh doakan, sesiapa yang melakukan pembunuhan ini akan ma***s dalam keadaan yang paling tragis. Bukan sahaja diri pembunuh ini tapi keseluruhan anggota keluarga termasuk anak, bini dan mak bapak akan terbunuh macam kucing-kucing di dalam gambar ini,” tulis pengguna itu sambil turut memuat naik beberapa keping gambar kucing yang mati.

Posting itu sehingga kini mencatat lebih 500 perkongsian selain dihujani lebih 1,000 komen.

Artikel Lain