IBU dan bayi perempuannya yang maut dalam kemalangan membabitkan dua treler dan tiga kenderaan lain di KM160.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Bandar Cassia, di Nibong Tebal tengah malam Khamis dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kuantan, Pahang, kerana mahu mendaftar persekolahan anak sulungnya pada Sabtu. Bapa mentua Allahyarham Siti Khadijah Haron, Mohd Rosdin Hasbullah, 62, berkata, menantu dan anak lelakinya Nor Azry, 34, datang ke Alor Setar, Kedah bersama beberapa ahli keluarga yang lain termasuk beliau serta isteri kerana melawat seorang lagi anaknya di situ sejak Isnin lepas dan mahu pulang ke Kuantan pada Jumaat. "(Nor) Azry bersama isterinya serta tiga anak mereka bergerak pulang semalam dan kami yang lain merancang gerak pagi ini. Tapi awal pagi ini (Nor) Azry telefon saya maklumkan mereka terlibat kemalangan dan isteri serta anaknya meninggal dunia. Waktu itu saya terkejut dan kami terus datang ke hospital," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap, di Nibong Tebal. Dalam kemalangan kira-kira 12.30 malam itu, Siti Khadijah, 33, dan Nur Qaireen Marissa Nor Azry, lapan bulan, maut di tempat kejadian selepas kereta Proton Waja yang dinaikinya bersama suami serta dua lagi anak dilanggar treler dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun yang hilang kawalan sehingga terperosok ke belakang sebuah treler lain. Selain melanggar Proton Waja yang dinaiki lima beranak itu, treler berkenaan turut melanggar kereta jenis Volvo sebelum terus melanggar tiga lagi kereta yang terdapat di laluan tersebut. Dua pemandu treler itu tidak mengalami kecederaan manakala empat lagi pemandu kereta hanya cedera ringan. Mohd Rosdin berkata Siti Khadijah dan Nur Qaireen Marissa duduk di kerusi penumpang belakang manakala dua anak pasangan itu Nur Qisya Mardhiah, 7, dan Mohd Qhalif Naufal, 5, duduk di kerusi penumpang hadapan dan hanya mengalami kecederaan ringan. Adik kepada Nor Azry, Mohd Amirul berkata abangnya bekerja sebagai kerani di Balai Polis Bukit Tinggi di Kuantan manakala Siti Khadijah adalah suri rumah, mereka bertolak dari Alor Setar pada 8.30 malam kerana hari ini dia mahu mendaftar persekolahan anak sulungnya. "Dua anak saudara saya iaitu Qisya dan Qhalif sampai sekarang masih terkejut dan trauma, mereka tidak mahu bercakap dengan sesiapa kecuali ayahnya sahaja. Tapi Qisya faham ibu dan adik bongsunya sudah tiada, namun Qhalif pula menangis mencari ibunya," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan SPS Supt Shafee Abdul Samad berkata pemandu treler berusia 39 tahun yang melanggar kereta dinaiki keluarga tersebut dan empat kenderaan lain ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemalangan berkenaan. "Ujian awal air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah dan kami sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas pemandu tersebut. Kemalangan tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - Bernama