suria

Mulai 1 Januari 2020, 10 lagi plaza tol PLUS boleh bayar guna RFID

Pelaksanaan kutipan tol RFID dijangka dapat melancarkan lagi pergerakan trafik di lorong tol selain memudahkan pengguna. -foto Bernama

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan melaksanakan kutipan tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di 10 plaza tol sistem terbuka di lebuh raya kendaliannya bagi kenderaan kelas satu, sebagai antara pilihan mod pembayaran mulai 1 Januari depan.

Plaza tol sistem terbuka (tanpa mengira jarak perjalanan) terlibat ialah di Lebuhraya Utara-Selatan (Jitra dan Kempas), Lebuhraya Butterworth-Kulim (Lunas dan Kubang Semang), Lebuhraya Seremban- Port Dickson (Mambau dan Lukut), Lebuhraya Laluan Kedua (Linkedua) (Perling, Lima Kedai dan Tanjung Kupang) serta Jambatan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Operasinya Zakaria Ahmad Zabidi dalam kenyataan pada Isnin berkata pelaksanaan sistem itu dijangka dapat melancarkan lagi pergerakan trafik di lorong tol kerana pengguna lebuh raya tidak perlu lagi berhenti untuk menyentuh kad dan tambah nilai eWallet menjadi lebih mudah kerana dilakukan secara dalam  talian.

"Selain itu ia dapat mengurangkan isu kad elektronik tidak cukup baki, mengurangkan kejadian peranti SmarTAG hilang atau tidak mempunyai bateri atau diletakkan secara terbalik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya  mod pembayaran tol sedia ada iaitu melalui kad Touch 'n Go atau SmartTAG masih lagi relevan dan diterima seperti biasa di lebuhraya PLUS, sementara di di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor), sistem itu hanya boleh digunakan untuk Caj Jalan (tag RFID Vehicle Entry Permit) bagi kenderaan Singapura sahaja.

Pada masa yang sama beliau turut menasihatkan pengguna yang sudah mempunyai pelekat RFID Touch 'n Go untuk memastikan baki eWallet mencukupi bagi menikmati perjalanan lancar dan selesa.

RFID Touch 'n Go merupakan pilihan mod pembayaran terkini yang menggunakan pelekat khas bercip RFID yang ditampal pada kenderaan yang dihubungkan dengan Touch 'n Go eWallet bagi memudahkan pengguna untuk menambah nilai tol secara dalam talian tanpa perlu ke pusat tambah nilai.

Katanya lebih banyak pilihan pembayaran juga sedang dibangunkan sama ada menerusi kad debit atau kredit, serta lain-lain eWallet.

Syarikat itu dijangka memperluaskan sistem berkenaan di 83 plaza tol sistem tertutup (sistem berdasarkan kelas kenderaan dan jarak perjalanan) di lebuh raya kendaliannya pada 1 April 2020.

Orang ramai boleh mendapatkan pelekat RFID Touch 'n Go di 130 pusat pemasangan sedia ada atau menerusi pautan https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres dan  https://www.tngdigital.com.my/rfid -Bernama

RFID, Plus, lebuhraya, sistem terbuka

Artikel Lain