suria

Awas, kuasa tular rosakkan diri... boleh ‘mental’ dibuatnya! Mangsa viral terawal Malaysia dedah raih RM18,000 sebulan tapi dihantui ‘bisikan jahat’

Puteri Awani pernah tular dengan video 'Couple Seminggu' sekitar 2013 yang telah mengubah hidupnya sejak itu. Foto Ihsan PUTERI AWANI

KEWUJUDAN teknologi bagaikan melengkapi kehidupan moden pada hari ini dan ia ternyata memberi banyak kelebihan kepada manusia.

Antara yang paling memberi impak tentunya kewujudan media sosial yang mana ia menjadi medium utama penyebaran maklumat serta platform komunikasi yang pantas, mudah dan berkesan.

Dalam kerancakan globalisasi itu, timbul pula polemik mengenai impak yang dibawa oleh teknologi kepada kehidupan manusia.

ARTIKEL BERKAITAN: Parah! Gadis dedah alami depresi... pernah cedera, menangis dalam solat mohon lupakan Akhyar Rashid - “Makan tak lalu, tidur susah... macam nak gila”

ARTIKEL BERKAITAN: Baring di lantai jam 3 pagi menangis pandang siling, lari keluar kelas, tapi gadis alami gangguan mental ini dapat 11A dalam SPM, PT3... ini nasihatnya!

Contoh yang paling mudah, kuasa tular atau viral yang menjadi sebahagian daripada paparan utama dalam setiap media sosial pada hari ini.

Boleh dikatakan hampir setiap hari, ada sahaja kes atau isu tular melibatkan selebriti, ahli politik, Instafamous mahupun orang biasa yang mana perkara itu mampu membawa kesan buruk jika dibiarkan berlarutan.

Puteri memberitahu penularan video tersebut telah menyebabkan dirinya mengalami depresi dan kebimbangan melampau.

Ramai sebenarnya yang tidak peka akan impak buruk kuasa tular biarpun ia dilihat mampu memberi publisiti kepada seseorang individu, sesebuah jenama mahupun apa-apa sahaja yang menjadi subjek perkara itu.

Biarpun ada sesetengah individu yang bernasib baik dan menggunakan kuasa tular untuk menjana pendapatan serta mengumpul pengikut yang ramai, tak ramai tahu ada dalam kalangan mereka yang turut mengalami depresi dan tekanan sehingga ada yang mengambil jalan singkat untuk membunuh diri.

Merungkai hal itu, mStar secara eksklusif bersemuka dengan seorang remaja, Puteri Awani Ahmad, 21, yang merupakan antara individu terawal menjadi bahan tular di media sosial sekitar enam tahun lalu.

Pada waktu itu, platform media sosial sedang rancak berkembang dan mengumpul ramai pengguna baharu.

Dek kerana video rakaman 'Couple Seminggu' yang dihasilkan Puteri untuk teman lelakinya, dia menjadi bahan penularan netizen sehingga namanya menjadi cukup popular dan dikenali ramai.

Jana pendapatan RM18,000 sebulan

Dia bagaimanapun menggunakan impak populariti itu untuk menjana pendapatan dalam bidang hiburan termasuklah bergelar model iklan televisyen selain menerima banyak permintaan untuk membuat ulasan produk di Instagram (IG Review).

Lebih mengujakan, rezeki demi rezeki yang datang bergolek membolehkan dia menjana pendapatan lumayan mencecah belasan ribu ringgit hampir setiap bulan.

"Tidak dinafikan dalam perkara negatif yang berlaku pada saya ketika itu ada juga positifnya termasuk ia membuka peluang kepada saya untuk mencari rezeki.

Ketika namanya berada di puncak, Puteri memberitahu dia pernah mendapat pelbagai tawaran termasuk berlakon filem. 

"Bayangkanlah ketika itu pendapatan saya mencecah RM18,000 sebulan! Budak sekolah dapat duit macam tu sampai lupa perkara lain sehingga terpaksa menolak banyak tawaran termasuk berlakon filem.

"Saya mula lihat kelebihan bergelar Instafamous sebagai sebuah perniagaan walaupun terpaksa menelan banyak cakap-cakap tidak enak tentang saya," jelasnya.

Depresi selepas 4 tahun video tersebar

Disebalik keseronokan itu, siapa tahu impak populariti yang bermula dengan kes tularnya telah 'memakan diri' beberapa tahun kemudian yang mana ia memberi kesan buruk kepada kesihatan mental Puteri.

"Saya sangat muda ketika itu, baru 15 tahun. Memang terkejut dan sedih apabila ia tersebar serta menjadi buah mulut dan bahan cacian masyarakat tapi saya tak ambil serius tentang apa orang kata tentang saya.

"Tapi dalam saya tidak peduli tanpa disedari ia telah 'memakan diri' saya beberapa tahun kemudian kerana terlalu banyak saya pendam dalam hati," katanya.

Bercakap mengenai penderitaannya bertarung dengan masalah depresi dan kebimbangan melampau (anxiety), anak kelahiran Pulau Pinang itu memberitahu ia berlaku sekitar 2017 apabila dia menyedari sikapnya bertukar menjadi seorang pendiam, sering menangis walaupun dirinya seorang yang ceria.

Tidak cukup dengan itu, Puteri memberitahu dia menjadi kurang berkeyakinan terutamanya ketika berada di tempat awam kerana merasakan orang sekeliling bercakap dan mengetahui kisah video 'Couple Seminggu'.

Keadaan saya memang teruk ketika itu tetapi ada semangat dalam diri saya beritahu supaya keluar dari situasi ini dan tiada orang boleh bantu selain diri sendiri.

PUTERI AWANI AHMAD 

INSTAFAMOUS

"Kebetulan ketika itu Instagram saya digodam dan saya mengambil keputusan untuk berehat seketika dari dunia media sosial tetapi fikiran saya tidak berhenti berfikir tentang apa yang netizen komen tentang saya walaupun perkara itu telah lama berlaku.

"Saya hairan juga pada awalnya kerana sebelum ini saya tidak pernah kisah dengan apa orang kata tetapi ia mula menghantui diri saya.

"Bayangkan sampai saya meracau dan mengalami serangan panik, selain menjadi pelupa serta tidak ingat apa yang saya cakap,” jelasnya.

Kata Puteri lagi, keadaannya bertambah bertambah teruk apabila dia mula mendengar bisikan ‘jahat’ termasuk meminta mengambil nyawanya sendiri.

Tambah Puteri, dia pada awalnya menyangka dirinya terkena perbuatan sihir kerana setiap kali meracau dia seperti dirasuk namun apabila mendapatkan rawatan perubatan Islam tiada apa yang pelik dengan dirinya.

Enggan terus berada dalam situasi itu, Puteri memberitahu dia merujuk masalahnya di Hospital Putrajaya dan doktor mengesahkan dia mengalami depresi dan anxiety.

Walaupun akaun Instagramnya pernah digodam namun Puteri berjaya meraih kembali pengikutnya. 

Sepanjang setahun kata Puteri, dia kerap berulang-alik ke hospital untuk rawatan termasuk sesi terapi selain turut mengambil ubat bagi mengawal masalah itu.

"Sebelum berjumpa doktor saya terkena serangan panik dan apabila berjumpa doktor dia terus merujuk saya ke Hospital Putrajaya sebelum disahkan mengalami depresi dan anxiety.

"Keadaan saya memang teruk ketika itu tetapi ada semangat dalam diri saya beritahu supaya keluar dari situasi ini dan tiada orang boleh bantu selain diri sendiri," katanya.

Kini kata Puteri dia berada dalam keadaan jauh lebih baik berbanding dirinya dua tahun lalu dan berazam untuk terus kekal positif dan melancarkan kembali kariernya sebagai seorang Instafamous.

"Sekarang saya tidak lagi bergantung kepada ubat cuma masih menghadiri sesi terapi setiap dua bulan sekali di hospital. Selebihnya saya rasa lebih bersemangat dan menganggap apa berlaku sebelum ini untuk mematangkan saya," katanya.

Keluarga pembakar semangat Puteri untuk bangkit dan pulih daripada masalah depresi. 

Mahu kembali bangkit sebagai Instafamous

Sudah pun mempunyai karier tetap sebagai seorang pramugari sebuah syarikat penerbangan, Puteri bagaimanapun memberitahu sudah bersedia untuk meninggalkan tugasnya di awan biru bagi memberi fokus kepada perkara diminatinya.

Puteri memberitahu bergelar seorang Instafamous adalah minatnya dan berharap dapat menjadikan ia sebagai karier tetap pada masa hadapan.

Malah kini Puteri turut membuka akaun YouTube sendiri yang dijadikan sebagai medium video blog bagi berkongsi pelbagai perkara seperti review, tip termasuk hal berkaitan peribadi.

"Hampir dua tahun saya bergelar pramugari dan rasanya sudah tiba masanya saya kembali melakukan perkara yang saya sukai.

"Saya tidak hanya melihat Instafamous untuk popular semata-mata sebaliknya ia boleh dijadikan sebagai satu perniagaan jika ada strategi yang betul.

Puteri berazam untuk menggunakan media sosial dengan lebih baik dalam membangunkan empayarnya sendiri. 

"Alhamdulillah sejak beberapa bulan lalu saya kembali aktif membuat review, menghasilkan vlog di YouTube dan penerimaan pengikut juga sangat positif," katanya yang kini mempunyai lebih 300,000 pengikut di Instagram.

Puteri turut berharap pengalaman hitamnya sebelum ini dapat dijadikan pengajaran terutamanya buat golongan remaja yang ingin bergelar Instafamous.

Jelas Puteri, mendapat populariti dan pengikut kerana video viral bukanlah perkara terbaik boleh dilakukan kerana ia akan meninggalkan kesan jangka panjang tanpa disedari.

"Ada cara lebih baik untuk viral dan menghasilkan video 'bodoh' sehingga menjadi kecaman bukan salah satu daripadanya.

"Saya sendiri sudah menerima kesannya dan ia sangat menyakitkan... Jadi fikir-fikirlah," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel Lain