suria

Luth Ishak Ketua Armada Bersatu Tanjung Malim maut kemalangan

Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Luth Ishak terbabit dalam kemalangan.

KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Malim, maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 315.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Tapah, Perak, awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, Luth Ishak, 34, dari Bidor, maut di lokasi kejadian yang berlaku pada pukul 6.15 pagi.

Beliau berkata, dua lagi mangsa yang menaiki pacuan empat roda itu cedera parah, manakala pemandunya cedera ringan.

"Pemandu lori berusia 56 tahun yang membawa muatan telur itu mengalami kecederaan di kaki kiri.

"Kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu lori hendak menukar lorong dari kanan ke kiri, menyebabkan kenderaan pacuan empat roda itu melanggar bahagian lori berkenaan," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - The Star

Artikel Lain