MASALAH depresi dalam kalangan figura terkenal bukanlah sesuatu yang asing, malah ada golongan selebriti yang mengambil jalan singkat dengan mencabut nyawa sendiri akibat tidak tahan berdepan kemahsyuran. Antara yang paling diingati tentunya vokalis kumpulan rock terkenal Linkin Park iaitu Chester Bennington yang membunuh diri pada Julai tahun 2017. Tragedi itu sekali gus membuktikan populariti dan wang yang bertimbun tidak menjamin kebahagiaan, sebaliknya ada antara golongan ini banyak memendam masalah sendiri sehingga tercetusnya masalah kemurungan. ARTIKEL BERKAITAN: Alieff Irfan mampu beli kereta, menggaji 8 pekerja kerana 1 juta pelanggan YouTube ARTIKEL BERKAITAN: “Saya akui ia memang menjatuhkan maruah guru” - Youtuber Alieff Irfan menyesal buat video kisah lucah ala Cikgu Suraya ARTIKEL BERKAITAN: Personaliti Yotube dituduh tunjuk 'buruk' Kelantan, malukan negeri sendiri hasilkan video mat rempit ARTIKEL BERKAITAN: Awas, kuasa tular rosakkan diri... boleh ‘mental’ dibuatnya! Mangsa viral terawal Malaysia dedah raih RM18,000 sebulan tapi dihantui ‘bisikan jahat’ Melihat senario ini, ia juga tidak mustahil boleh berlaku kepada mana-mana individu termasuklah orang biasa mahupun selebriti di negara kita. Pasti ramai yang tahu bagaimana kejinya komen-komen yang diterima golongan popular di media sosial setiap kali ada isu yang membadai mereka. Dihujani komen bersifat kebencian dalam kuantiti yang besar pastinya boleh memberi impak kepada kesihatan mental mereka khususnya jika ia tidak dikawal dan dibiarkan berlarutan. Dalam pertemuan mStar bersama selebriti media sosial dan juga Youtuber terkenal, Alieff Irfan, dia sempat bercerita mengenai bahana depresi atas kemahsyuran yang dimilikinya. Jika disoroti perjalanan anak muda ini, dia menempa nama sebagai antara Youtuber pertama Malaysia yang berjaya mencapai sejuta subscribers di platform perkongsian video berkenaan. Alieff tidak terlepas menerima komen-komen bersifat kebencian di media sosial miliknya. Aktif menghasilkan video dan filem pendek, akaun Youtube milik anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu terus meningkat kepada 2.17 juta subscribers. Malah, dia juga memiliki lebih 1.1 juta pengikut di Instagram, diikuti Facebook dengan lebih 550,000 peminat. Ia ternyata membawa tuah buat Alieff atau nama sebenarnya Muhammad Aliff Irfan Aziki apabila kelebihan itu digunakan sebaik mungkin sehingga menjadi kerjaya profesional yang menjana pendapatan lumayan. Silap langkah bawa padah Namun kata Alieff, dia juga tidak terlepas dibadai ombak kebencian netizen sehingga ia memberi kesan kepada kesihatan emosinya atas beberapa kekhilafan yang dilakukan sepanjang berkecimpung dalam haluan ini. Paling teruk kata Alieff tentunya sewaktu dia terpalit dengan kontroversi penghasilan video yang diinspirasikan daripada kisah lucah popular, Cikgu Suraya, sekitar Oktober lalu. Seawal usia 22 tahun, Alieff sudah memiliki lebih sejuta pengikut di Instagram. Suntikan elemen berunsurkan soft porn dalam plot penceritaan video tersebut ternyata menimbulkan kemarahan ramai. Lebih teruk, rata-rata pengikut Alieff merupakan golongan muda serta rakyat negeri kelahirannya yang cukup dikenali dengan imej Islam dan digelar sebagai negeri serambi Makkah. Selain dilabel mencemarkan nama Islam, dia juga menerima kritikan kerana dianggap memberi pengaruh buruk terhadap golongan muda di negara ini. “Bercakap mengenai depresi, tipulah kalau saya kata langsung tak ada. Lebih ramai peminat, lebih ramai orang benci kita. “Bagi saya, memiliki pengikut yang ramai di media sosial ada kekurangan dan kelebihannya. Biasanya orang nak cari buruk kita sahaja. Alieff mengakui perlu cekal jiwa seandainya mahu kekal bertapak dalam industri seni. “Sekali buat buruk, orang akan ingat dan tularkan perkara itu. Ia memang boleh buat saya tertekan dan menjurus ke arah depresi, tapi saya kena sesuaikan diri untuk kekal dalam industri,” ujarnya. Alieff kurung diri Bercerita mengenai detik paling gelap dalam hidupnya selepas teruk dikecam akibat penghasilan video Cikgu Suraya, Alieff mendedahkan dia pernah mengurung dirinya dalam rumah selama beberapa hari. Malah, dia juga seolah-olah takut untuk keluar bersemuka dengan masyarakat kerana tidak tahu apa persepsi sebenar yang akan dilontarkan pada dirinya. “Selepas kisah Cikgu Suraya. Itulah detik paling teruk saya rasa. Pada masa tu saya mula rasa macam diri ini dianggap tak bagus dan dibenci ramai. “Saya tak keluar rumah selama tiga hari. Duduk berkurung sahaja. Apabila saya keluar pada hari keempat, saya masih takut sebenarnya. Alieff melangkah jauh dalam penghasilan video dengan kewujudan Alieff Irfan Studio Production (AI). “Apabila orang pandang, saya tak tahu apa yang mereka fikir, atau adakah mereka masih marah pada saya? Dalam dua minggu baru isu itu reda,” jelasnya lagi. Namun kata Alieff, dia enggan berterusan hidup dalam duka dan cuba mencari alternatif lain bagi meneruskan kehidupan normalnya. Antara pembaharuan yang nekad dilakukan Alieff termasuklah memperbaiki kandungan video Youtube miliknya agar tidak lagi menjadi bahan cercaan netizen. Kini, semua pelakon dalam video yang dihasilkan Alieff diwajibkan berpakaian menutup aurat. Malah, dia juga sedaya-upaya cuba menghasilkan jalan cerita yang tidak bersifat negatif biarpun niat asalnya mahu memberi pengajaran sahaja. Antara video yang pernah dihasilkan oleh anak muda kelahiran Kelantan ini. “Alhamdulillah, selepas kes Cikgu Suraya saya terus ubah cara kerja. Saya terima banyak komen positif. Lebih kurang 95 peratus yang positif, selebihnya komen negatif. “Jauh berbeza berbanding sebelum ini. 70 peratus komen kebencian, hanya 30 peratus komen yang menyokong saya. Sekarang, baca komen pun rasa gembira,” kata Alieff. Dapatkan rawatan jika perlu Berkongsi lebih mendalam mengenai dirinya, Alieff mengakui peka dengan masalah depresi yang melanda ramai individu pada hari ini. Kata Alieff, dia juga bersifat terbuka dan tidak malu untuk bertemu pakar psikiatri jika dirinya terjerumus dalam masalah itu. "Misal kata saya ada depresi, saya akan berjumpa pakar psikiatri sebab tak mahu ia terus berlarutan. Alieff mengakui pernah berkurung dalam rumah apabila dia teruk dikecam netizen. "Saya tak takut dicop gila. Pada saya, kita perlu dapatkan rawatan dan jumpa doktor. Tapi saya tak adalah sampai tahap depresi lagi. Sekadar tekanan biasa macam orang lain sahaja," katanya. Untuk rekod, Alieff mula menghasilkan video Youtube sejak tahun 2006, bermula dengan 1,000 subscribers sahaja. Selain video dan filem pendek, dia menerima pendapatan hasil sumbangan iklan, promosi produk dan jualan barangan cenderamata. Ia membolehkan Alieff maju setapak dengan pembukaan studio produksi Alieff Irfan Studio Production (AI) sehingga mampu menggaji lapan orang pekerja.