suria

“Semua yang ditayang itu dipilih, disengajakan untuk nampak 'cantik' sahaja” - Pakar psikologi akui media sosial tak semua betul

Paparan berisfat selektif dalam media sosial boleh memberi kesan kepada mereka yang melihatnya sehingga terjadi perbandingan tidak realistik.

SETIAP kali wujud isu masalah depresi dalam kalangan yang disiarkan dalam media terutama melibatkan golongan selebriti, ramai masih belum benar-benar faham tentang bahaya kesihatan mental.

Lebih menyedihkan apabila rata-rata meninggalkan komen berbaur kecaman dan kritikan termasuk menganggap depresi sebagai tekanan yang jelas memperlihatkan mentaliti masyarakat mengenainya masih ditahap rendah.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas, kuasa tular rosakkan diri... boleh ‘mental’ dibuatnya! Mangsa viral terawal Malaysia dedah raih RM18,000 sebulan tapi dihantui ‘bisikan jahat’

Itu tidak termasuk kebencian ditunjukkan kepada individu atau golongan selebriti yang mengalami masalah tersebut sehingga menambahkan lagi tekanan.

Sembunyi di sebalik skrin

Dalam pada itu, aktivis kesihatan mental terkenal yang juga pembantu psikologi, Aiman Amri berkata, wujud satu permukaan (layer) tambahan dalam kehidupan maya hari ini sehingga ia mendorong kepada elemen kebencian yang menyumbang kepada depresi dalam diri individu tidak kira selebriti, Instafamous mahupun sesiapa sahaja.

Aiman aktif berkongsi serta memperjuangkan isu kesihatan mental dan psikologi menerusi media sosial.

"Kenapa media sosial menjadi masalah? Ia ibarat satu permukaan yang mana orang boleh bersembunyi di sebalik skrin telefon mereka.

"Ia menyebabkan mereka yang memiliki hati tak baik, keluar habis sifat jahat mereka. Apabila berada depan kawan, kita tak sampai hati nak kutuk, marah atau mencarut. Sebab kita boleh nampak mimik muka mereka dan rasa kasihan.

"Tapi dalam media sosial, disebabkan wujudnya lapisan tambahan dan skrin, kita hentam, buli dan tularkan seseorang sehingga mereka mengalami tekanan melampau," katanya.

Tambahnya, media sosial juga bersifat tidak sihat jika digunakan secara salah dalam kehidupan seharian.

Malah, ia akan menyebabkan seseorang individu menjadi terasing akibat terlalu fokus melayan kehidupan maya dalam sesuatu platform media sosial.

Puteri Awani dan Alieff menerima impak besar sejak bergelar personaliti media sosial. 

Yang dekat makin jauh

"Kalau digunakan berlebihan, tak bagus juga. Ia buat seseorang tu terasing. Media sosial beri gambaran orang yang jauh terasa dekat. Tetapi ia juga menjauhkan mereka yang sudah sedia ada dekat. Ada depan mata, tapi kita asyik main telefon sahaja," jelasnya lagi.

Menurut Aiman, apa yang dipaparkan dalam media sosial boleh dikatakan hanya sebahagian daripada kehidupan sebenar seseorang individu.

Senada dengan Presiden Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa) Anita Abu Bakar, dia mengakui pengguna media sosial memilih kandungan yang bersifat 'cantik' sahaja untuk dipaparkan sehingga menimbulkan rasa rendah diri dalam kalangan mereka yang melihat.

"Media sosial adalah sejenis medium atau platform yang mana semua yang ditayangkan merupakan sesuatu yang disengajakan.

"Ia hanyalah satu benda yang orang pilih untuk ditayang kepada masyarakat umum. Orang tayang kebahagiaan dan kesempurnaan sehingga menyebabkan mereka yang ada self-esteem rendah rasa dirinya kurang, tak cukup dan akan sering bandingkan diri dengan orang lain," katanya lagi.

Islam menggalakkan kita meyeimbangkan juga usaha membendung penyakit mental ini secara fisiologi atau lahiriah.

Dekatkan diri pada Allah

Dalam pada itu, pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Khairunneezam Mohd Noor berkata, Islam memberikan panduan berbeza dalam usaha mengatasi masalah kemurungan dan masalah mental lain secara kerohanian.

Kata Dr Khairunneezam, ia dilihat sebagai alternatif terbaik untuk merawat penyakit-penyakit mental dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, mendirikan solat, bacaan zikir, doa lazim dan khusus, bermunajat dan melakukan amar maa'ruf sebagaimana digariskan oleh syariat Islam.

"Manusia secara fitrahnya dipengaruhi oleh unsur dalaman yang terdiri daripada perasaan, jiwa dan nafsu. Sekiranya unsur-unsur tersebut mengalami gangguan, maka ia seterusnya akan mempengaruhi tingkah laku dan perbuatannya," katanya.

Katanya, Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud : “Maka ingatlah kepada-Ku. Aku juga akan ingat kepadamu” (Surah al-Baqarah ayat 152).

Dr Khairunneezam berkata ia merupakan peringatan dan panduan bahawa andai kita sentiasa ingat dan membesarkan keEsaan-Nya, maka Allah SWT akan melindungi kita sepanjang masa.

Begitu juga dengan ingatan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat” (al-Baqarah, ayat 153).

Kenapa media sosial menjadi masalah? Ia ibarat satu permukaan yang mana orang boleh bersembunyi di sebalik skrin telefon mereka.

AIMAN AMRI

AKTIVIS KESIHATAN MENTAL

Ikut sunnah Rasulullah

"Ini adalah isyarat jelas bahawa Allah SWT akan membantu dan melindungi kita sebagai hamba-Nya mengatasi sebarang permasalahan termasuk masalah mental dan kemurungan dengan syarat kita berusaha dan berdoa dengan penuh kesabaran dan tidak sesekali culas melaksanakan solat," katanya.

Sementara itu katanya, antara panduan yang boleh digunakan sebagai terapi jiwa termasuklah membaca al-Quran, mengambil wuduk serta memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah.

"Islam menggalakkan kita meyeimbangkan juga usaha membendung penyakit mental ini secara fisiologi atau lahiriah. Antaranya ialah menjaga kesihatan diri melalui pemakanan seimbang dan mengikut sunnah dan aktiviti fizikal dan riadah secara tekal.

"Islam juga menyarankan melalui panduan Sunnah Rasulullah SAW yang sangat banyak dalam hal pembentukan silaturrahim dan hubungan sosial yang baik dalam masyarakat," ujarnya.

Tambahnya, setiap masalah boleh dihadapi sekiranya tindak-tanduk kita menepati syariat Islam serta bersandarkan kepada sifat tawaduk, yakin dan syukur kepada Allah SWT, maka diri kita akan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya dalam menangani segala tekanan dan kemurungan tersebut.

Artikel Lain