suria

Sering ingkar arahan Kabinet punca Maszlee diarah letak jawatan

Dr Maszlee Malik.

DR Maszlee Malik didakwa sering mengingkari arahan Kabinet sehingga membawa kepada peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan pada Khamis lalu.

Menurut laporan portal The Malaysian Insight (TMI), sepucuk surat mengandungi 17 perenggan ditulis sendiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa dihantar ke pejabat Maszlee pada 27 Disember lalu.

Laporan itu turut mendedahkan kandungan surat berkenaan yang mendakwa Maszlee gagal mengikut nasihat dan beberapa kali melanggar keputusan Kabinet berkaitan isu pengenalan tulisan jawi, internet percuma kepada sekolah dan program sarapan percuma.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya dengar anda amat disukai guru-guru...” - KJ simpati nasib Maszlee, ramai menteri lain lebih layak berundur

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya dengan hati yang reda walaupun berat...” - Sah! Maszlee letak jawatan Menteri Pendidikan

Malah Maszlee turut didakwa menentang cadangan memisahkan portfolio Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Berdasarkan laporan itu lagi, Dr Mahathir didakwa meminta Maszlee menarik diri daripada jawatankuasa Kabinet.

Terdahulu, Maszlee mengundang kontroversi susulan pelaksanaan pengenalan tulisan jawi di semua sekolah rendah termasuk sekolah vernakular yang dibantah keras pertubuhan-pertubuhan pendidikan Cina.

Kontroversi tulisan jawi turut membawa kemarahan dalam kalangan kumpulan pejuang bahasa Melayu yang kemudiannya menuntut sekolah vernakular ditutup serta-merta.

Maszlee mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada 2 Januari tetapi keputusan itu berkuat kuasa pada 3 Januari lalu.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dilantik sebagai menteri pada Mei 2018.

Artikel Lain