suria

Pejabat AG putuskan kes Nora Anne 'Tiada Tindakan Lanjut' - Bukit Aman

Nora Anne Quoirin.

PEJABAT Peguam Negara sebelum ini memutuskan bahawa kes remaja perempuan warga Ireland Nora Anne Quoirin, yang ditemui mati selepas dilaporkan hilang dari vila penginapan keluarganya di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, dekat Seremban, Ogos tahun lepas, sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memberitahu media bahawa ia berdasarkan laporan yang telah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara berkaitan kes berkenaan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“(Laporan) SDR itu telah kita hantar ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya berdasarkan (kepada) statement patologi yang telah kita rakam dan berdasarkan sijil kematian cause of death Nora Anne, yang menyatakan (kematiannya adalah) kerana disebabkan kebocoran pada usus.

“Pihak Peguam Negara telah memutuskan pada ketika itu kes ini telah di NFA. (Pasukan) patologi saya percaya dalam preparation untuk menghantar secara rasmi laporan (lengkap) post mortem,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.

Pada 17 Disember lepas, ibu bapa Nora Anne, Meabh Jaseprine Quoirin, 45, dan Sebastian Marie Philipe, 47, dilapor sebagai berkata kehilangan anak mereka pada Ogos lepas didakwa mempunyai unsur jenayah.

Mengenai tindakan saman sivil yang diambil keluarga berkenaan ke atas resort itu, Huzir menegaskan bahawa ia perkara melibatkan keluarga terbabit dengan resort berkenaan.

“Saya ingin menegaskan di sini, pihak Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Bahagian Antarabangsa juga ada berhubung dengan keluarga mangsa dan peguam keluarga di UK (United Kingdom),” katanya.

Nora Anne berusia 15 tahun bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, dekat sini pada 3 Ogos, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos tahun lepas, iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, sekitar 2.5 km dari eko-resort itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain