RAKAMAN perbualan antara bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dengan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi menyampaikan perkembangan kes membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak terbongkar. Rakaman perbualan itu didedahkan menerusi sidang media Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, pagi Rabu. “Kertas siasatan tu kita dah terima. Pejabat Peguam Negara dah terima benda tu... saya nak update, kedudukannya tak baik,” demikian menurut rakaman suara didakwa Dzulkifli. ARTIKEL BERKAITAN: SPRM dedah 9 rakaman perbualan konspirasi jenayah tertinggi babit Najib, Rosmah “Saya tengok very bad, bila saya tengok benda tu saya macam nak menangis. MasyaAllah... saya tak tahulah Datuk Seri. “Bila saya tengok saya rasa macam nak menangis, sampai ke tahap tu,” kata Dzulkifli yang ketika itu bertugas selaku timbalan pendakwaraya di Pejabat Peguam Negara menerusi perbualannya bersama Najib. Dzulkifli berulang kali menyatakan dia tidak menyangka perkara itu terlalu serius. “Minta maaf Datuk Seri, saya rasa Datuk Seri kena main,” tambah Dzulkifli menerusi rakaman tersebut. “MasyaAllah, saya tengok sampai macam nak menangis,” katanya. Latheefa berkata, perbualan telefon berdurasi 15 minit antara Dzulkifli, Najib dan Rosmah itu merupakan antara set rakaman percakapan dibuat 5 Januari 2016. Beliau menambah, sebanyak sembilan set rakaman perbualan berdurasi 45 minit itu membabitkan tujuh individu berprofil tinggi termasuk Najib, Rosmah dan Dzulkifli. Menurut Latheefa, rakaman tersebut diterima daripada individu namun menegaskan tidak akan mendedahkan pemberi maklumat tersebut. Menerusi audio itu juga Dzulkifli juga memaklumkan akan bertemu peguam negara pada Khamis, 7 Januari 2016. Pada 25 Januari 2016, Tan Sri Apandi Ali telah mengadakan sidang akhbar membebaskan Najib daripada sebarang salah laku dalam kes 1MDB dan SRC. Mengulas perkara itu, Latheefa berkata, apa yang berlaku adalah salah, kerana Dzulkifli sebagai pendakwa raya, telah membocorkan maklumat kepada Najib yang mungkin adalah suspek. "Ini mungkin melanggar Akta Rahsia Rasmi. "Terdapat pelbagai isu serius yang timbul termasuk penyalahgunaan kuasa, konspirasi jenayah, menghalang keadilan dan menjejaskan keselamatan negara," katanya. Susulan itu, Latheefa telah mengarahkan pegawai SPRM mengambil langkah perlu dan seterusnya akan menyerahkan bahan itu kepada pihak berkuasa berkaitan untuk siasatan lanjut.