ENAM pelanggan sebuah bank yang sedang beratur untuk menggunakan mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Besar Sungai Bakap, Nibong Tebal mengalami pening dan muntah selepas terhidu bahan kimia di situ. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jambatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.06 tengah hari memaklumkan terdapat kebocoran bahan kimia di situ dan enam mangsa mengalami muntah serta pening. "Ketika pihak bomba tiba, mendapati terdapat kebocoran bahan kimia dan beberapa mangsa mengalami muntah dan pening, lima orang dihantar ke Hospital Sungai Bakap manakala seorang lagi menerima rawatan oleh pasukan perubatan di lokasi," katanya. Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh daripada pegawai bank di situ memaklumkan, premis tersebut dalam proses pembasmian serangga perosak dan telah disembur dengan bahan pembasmi anai-anai. "Ketua Operasi membuat size up di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota membuat pemeriksaan dengan memakai set alat pernafasan dan menjaga premis dari di masuki orang ramai supaya mereka tidak menghidup bahan kimia tersebut," katanya. - BERNAMA