suria

Jadikan hari Ahad hari rehat bersama keluarga - Hannah Yeoh

Hannah Yeoh.

TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh menyarankan, agar hari Ahad dijadikan sebagai hari rehat bersama keluarga. 

Beliau berkata saranan itu adalah sebagai satu langkah pencegahan dan penyelesaian, dalam menghadapi masalah tekanan kerja.

"...ini supaya mereka yang bekerja mempunyai masa untuk berehat pada hari Ahad. Jika tidak berbuat demikian (berehat), badan akan letih seterusnya mereka akan rasa tertekan untuk bekerja pada hari berikutnya. 

"Secara tidak langsung, keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal," katanya selepas melancarkan Hari Keluarga Kiara Green Townhouse di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Hari Keluarga itu dihadiri hampir 100 penduduk berbilang kaum dan usia di taman perumahan berkenaan.

Pada masa sama Yeoh yang juga Ahli Parlimen Segambut turut menggalakkan, agar semua persatuan penduduk kerap mengadakan program komuniti, bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim bukan sahaja dalam kalangan keluarga, tetapi juga jiran tetangga.

"Seperti hari ini, saya lihat ini adalah satu langkah penting dalam menganjurkan program berasaskan keluarga. Aktiviti sebegini memberi lebih masa untuk penduduk saling bermesra dan mengenali antara satu sama lain.

"Mungkin program komuniti seperti ini boleh dilakukan pada Sabtu misalnya," kata beliau. 

Sementara itu, mengenai rayuan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman berhubung projek bangunan kediaman tinggi di Taman Rimba Kiara, Yeoh berkata kes itu kini di peringkat pendengaran di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 15 Januari ini.

Beliau mengulas mengenai kontroversi projek itu yang mendapat bantahan penduduk TTDI yang mendakwa, projek berkenaan bakal menghapuskan kehijauan alam semula jadi di kawasan tersebut.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan perintah pembangunan, bagi projek mega di atas lot tanah seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara, yang melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

DBKL perlu membayar kira-kira RM150 juta kepada pemaju, sekiranya projek itu dibatalkan dan ia suatu pembaziran terhadap dana awam. - BERNAMA

Ahad, hari keluarga, Hannah Yeoh

Artikel Lain