"SAYA sudah berasa pelik apabila dia membawa pulang barang-barang peribadinya ke kampung semasa cuti semester bulan 12 lalu, sedangkan dia masih menyambung pengajian." Demikian luah Siti Fatimah Ismail, 48, ibu kepada salah seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Chendering, Tengku Muhammad Afiq Tengku Muhazan Shah, 20, yang ditemukan lemas setelah dihanyutkan ombak dalam kejadian membabitkan tiga mangsa ketika mandi di Pantai Pandak, di Kuala Terengganu, petang Sabtu. Menurut Siti Fatimah, dia bertanyakan mengenai sikap pelik anaknya itu, namun Tengku Muhammad Afiq memberitahu tiada apa-apa, sebaliknya sekadar ingin membawa pulang barangannya ke kampung di Kota Bharu, Kelantan. "Dia anak yang pendiam, tak banyak bercakap. Cuma apabila dia bawa balik barangan keperluan peribadi dan buku-bukunya, terdetik juga dalam hati (perubahan anak)," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kuala Terengganu, Ahad. Anggota polis mengangkat mayat Tengku Mohd Afiq yang ditemui lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira pulul 6.25 petang di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering pada Ahad. Foto Bernama Bapa mangsa, Tengku Muhazan Shah Tengku Mohamed, 46, berkata, dia hanya mengetahui tentang kejadian yang menimpa anaknya selepas Maghrib setelah dihubungi kakitangan UiTM Cawangan Chendering. Dia yang terkejut dengan kejadian itu berkata, kali terakhir dia menghubungi anaknya itu Jumaat lalu. "Tiada apa-apa yang pelik, cuma bila saya bertanya bila dia akan balik, dia hanya menjawab Insya-ALLAH. Saya reda dengan apa yang terjadi," katanya. Mayat Tengku Muhammad Afiq berjaya ditemukan pada pukul 6.25 petang Ahad. Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Bomba Mohd Mazimi Mohamad berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira 1 kilometer dari lokasi kejadian. "Pasukan penyelamat mengesan objek terapung berhampiran kawasan benteng pemecah ombak tidak jauh daripada mayat pertama yang dijumpai semalam. "Mayat mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. - Sinar Harian