KESEMUA yang ditahan dalam 'parti dadah' di Puchong telah dibebaskan dengan jaminan polis kecuali seorang warga asing, kata Tan Sri Abdul Hamid Bador. Ketua Polis Negara berkata, seramai 16 individu yang dibebaskan terdiri daripada 11 lelaki dan lima wanita selepas polis melakukan siasatan awal. "Enam belas daripada mereka didapati positif dadah, kecuali seorang lelaki. "Bagaimanapun, saya tidak akan mendedahkan nama-nama mereka yang ditahan kerana siasatan masih dijalankan dan kita sedang menunggu set ujian kedua sampel air kencing," katanya pada sidang media di Bukit Aman, Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: Adun Selangor, 4 pegawai khas politik antara 17 yang ditahan dalam parti dadah ARTIKEL BERKAITAN: Sah! Adun Bersatu Selangor ditahan Ditanya sama ada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) merupakan antara individu yang ditahan, Abdul Hamid berkata, ia cukup untuk mengatakan bahawa satu serbuan telah dijalankan, sejumlah individu ditahan dan polis akan menjalankan ujian lanjut. Beliau juga enggan mengulas mengenai sama ada mereka yang ditahan itu terbabit dengan parti politik. "Ia akan menjadi sub judice bagi saya menamakan mereka yang ditahan. "Kita mengikut undang-undang untuk tidak mendedahkan nama mereka," ujar Abdul Hamid. Mengenai tangkapan itu, Abdul Hamid berkata, polis dari Brickfields membuat serbuan ke kondominium itu selepas penduduk mengadu bunyi bising pada kira-kira pukul 4.40 pagi Ahad. "Sebaik anggota polis tiba di tempat kejadian, didapati kesemua 17 orang sedang dalam keadaan khayal dan berparti. ""Setelah melakukan pemeriksaan lanjut, polis menemui paket plastik yang mengandung serbuk dipercayai dadah jenis ketamin dan juga plat kaca dengan beberapa serbuk yang dipercayai ketamin," katanya. - The Star