suria

Momota patah hidung dan terima jahitan di bibir, keadaan dilaporkan stabil

Syed Saddiq (kanan) dan jurulatih badminton Jepun, Park Joo Bong ketika melawat mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Hospital Putrajaya. Foto: The Star

PEMAIN badminton nombor satu dunia, Kento Momota mengalami kecederaan di bahagian muka selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Serdang, awal pagi Isnin.

Momoto mengalami patah hidung dan menerima jahitan di bahagian bibir, namun keadaannya dilaporkan stabil.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Momota dan tiga yang lain sedang dirawat di Hospital Putrajaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu van maut tersepit, empat termasuk pemain badminton no. 1 dunia, Kento Momota cedera dalam kemalangan di lebuh raya MEX

“Menurut doktor, setakat ini empat penumpang van itu berada dalam keadaan stabil.

“Kami memantau perkembangan mereka.

“Kami memberikan komitmen penuh untuk memastikan mereka menerima rawatan yang terbaik.

“Para doktor adalah terlatih dan melakukan tugasan mereka dengan baik,” kata Syed Saddiq kepada pemberita di Hospital Putrajaya selepas melawat mangsa yang terlibat dalam nahas itu.

Turut kelihatan, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Norza Zakaria, Setiausaha BAM Datuk Kenny dan jurulatih badminton Jepun, Park Joo Bong.

Dalam kejadian awal pagi Isnin, van yang membawa empat penumpang termasuk Momota dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum terlanggar bahagian belakang sebuah lori.

Pemandu van yang juga warga tempatan, N. Bavan, 24, maut di tempat kejadian akibat tersepit.

Pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil sedikit masa untuk mengeluarkan mayat pemandu berkenaan.

Tiga lagi mangsa dikenal pasti sebagai jurulatih badminton Hirayama Yu, 35; pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42; dan pegawai teknikal Persekutuan Badminton Dunia William Thomas yang berusia 30 tahun.

Mereka sedang dalam perjalanan ke KLIA selepas terlibat dalam kejohanan badminton Perodua Malaysia Masters 2020, di mana Momota merangkul gelaran juara bagi kategori perseorangan lelaki. - THE STAR

Artikel Lain